Wabak Covid terus mengganas, apa faedahnya lantik Faizal Azumu Penasihat Khas PM? - AMK

 

Pelantikan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Bertaraf Menteri hanya akan membazirkan wang rakyat di tengah-tengah keperluan mendesak untuk menangani kes Covid 19 dan memperbaiki kemudahan hospital.



Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, pelantikan berkenaan tidak akan menguatkan kedudukan PM Mahiaddin Yassin malah sebaliknya meningkatkan rasa meluat rakyat memandangkan Faizal sendiri tidak popular dan telah dijatuhkan dari kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Perak.



"AMK menzahirkan rasa dukacita dengan pelantikan Ahmad Faizal Azumu sebagai Penasihat Khas kepada PM



"Ketika kes harian Covid-19 mencecah 20,000 kes sehari dan kematian akibat Covid-19 mencecah 10,000, PM Tan Sri Mahiaddin terus bermain politik dengan mengagihkan jawatan dalam keadaan ekonomi negara sangat kritikal.



"Apakah justifikasi perlantikan Faizal ketika negara berada dalam krisis pandemik dan krisis ekonomi paling teruk?" tanyanya dalam satu kenyataan.



Ahli Parlimen Johor Bahru itu tertanya-tanya apakah yang mendorong PM terfikir dengan melantik Faizal menjadi penasihatnya keadaan akan menjadi lebih baik di tengah-tengah pengangguran rakyat yang parah, malah pengangguran dalam kalangan graduan mencecah sehingga 22.5%.



"Bagaimana pula dengan nasib puluhan ribu doktor kontrak yang masih tidak diserapkan dengan penjawatan tetap?



"Berapakah wang rakyat perlu dihabiskan menggaji seorang lagi Ahli Parlimen selepas Marang dan Bintulu bertaraf Menteri? Bila seseorang dilantik dengan lantikan bertaraf Menteri, kita bukan hanya bercakap soal gaji malah elaun-elaun lain termasuk kos pentadbiran.



"Apakah keperluan lantikan ini ketika kerajaan baru sahaja melantik seorang Timbalan Perdana Menteri dan mempunyai bilangan anggota kabinet yang paling besar dalam sejarah negara?" tanyanya.



Akmal menasihatkan Mahiaddin menghentikan tabiat buruknya memberi habuan kepada sesiapa yang setia tanpa mempedulikan kewangan negara dan kesejahteraan rakyat.



"Apakah ini sebahagian daripada ‘scheme of things’ bagi memperkukuh kedudukan PM yang sehingga saat ini masih gagal membuktikan beliau mempunyai majoriti yang cukup untuk terus mentadbir Putrajaya?



"Kegagalan kerajaan menangani wabak dan pemulihan ekonomi hari ini adalah kerana kerajaan sibuk berpolitik mengagihkan jawatan untuk kekal berkuasa," katanya lagi.

No comments: