Semua orang tolong kira, Mahiaddin tak cukup sokongan, mengapa tunggu September?

 

Perdana Menteri Mahiaddin Yassin tidak cukup sokongan untuk meneruskan pentadbirannya walaupun sehari, oleh itu mengapa tunggu September bagi melakukan Undi Percaya di Parlimen.



Soalan itu dilontarkan oleh Ketua Whip KEADILAN, Datuk Johari Abdul menanggapi kegagalam Mahiaddin menjadi demokrat yang baik dan menyegerakan keputusan sama ada beliau layak meneruskan pemerintahan atau tidak.



"Kita telah mendapat notis (sidang Parlimen) 6 September. Itu persidangan pertama tahun 2021 yang akan dibuka oleh Agong. Cuma kita telah pun mendesak supaya PM Mahiaddin mengadakan sidang lebih awal bagi membuktikan beliau mempunyai anggota yang cukup.



"Dalam perkiraan kita, semua orang tolong kira, dari budak sekolah, cikgu sekolah sampailah pihak media telah kira berapakah PM ada dan berapa dia tak ada. Jadi sepatutnya secara logik apabila dia tidak punya keabsahan dia sebaiknya buat sidang Parlimen secepat mungkin," katanya kepada media semalam selepas diambil keterangan oleh pihak polis berhubung perhimpunan Ahli-ahli Parlimen di Dataran Merdeka 2 Ogos lalu.



Tambah Johari, pentadbiran Mahiaddin tidak punya keabsahan dan berjalan dalam kegelapan sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan kakitangan awam mentaati arahan kerajaan Perikatan Nasional hari ini.



"Sudah tentu siapa pun tahu dia tidak punya keabsahan. Tahu apa yang dilakukan, dengan rasa yang cukup was-was kerana apa yang dilakukan itu akan mempunyai masalah di hadapan.



"Jadi dia berjalan dalam keadaan kegelapan. Kita agak terkejut bila dia (Mahiaddin) kata September, sesuatu yang agak luar biasa bagi seorang PM yang mengetahui kedudukannya tidak menentu tetapi tidak mengambil tindakan untuk memastikan dia dapat keabsahan," katanya lagi.

 

No comments: