MAHIADDIN SAH TIADA MAJORITI, DIMALUKAN ISMAIL SABRI YANG BAKAL DIPECAT DARIPADA PARTI

 

Apabila Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob tampil mengadakan sidang media tengahari tadi bersama 20 lagi Ahli Parlimen UMNO dan BN dengan penegasan untuk terus menyokong Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin sehingga sidang Parlimen September depan, dua kesimpulan paling mudah dapat diambil ialah:

Pertama, Mahiaddin dengan sendirinya sudah hilang majoriti kerana dengan hanya 21 saja Ahli Parlimen BN yang hadir dan 10 lagi tidak hadir tetapi dikatakan turut bersama mereka, bermakna daripada 42 Ahli Parlimen BN keseluruhannya, terdapat 11 yang sah tidak menyokong Mahiaddin.

Dengan kedudukan majoriti PN hanya cukup-cukup makan atau mungkin kurang daripada cukup, sahnya 11 Ahli Parlimen BN yang tidak menyokong itu bererti Mahiaddin tiada lagi sokongan majoriti.

Kalau yang 10 yang tidak hadir itu pula turut menafikan atau membuat pusingan U, lagi parahlah tiadanya majoriti dimiliki Mahiaddin.

Tampil bergerombolan konon untuk menunjukkan sokongan kepada Mahiaddin, Ismail Sabri sebaliknya telah secara langsung memberi malu kepada Perdana Menteri.

Elok-elok orang tak tahu dan samar-samar beliau tiada majoriti, kini segala-galanya sudah terang lagi nyata.

Yang Dipertuan Agong sendiri pun barangkali sekarang sedar baginda telah dibohongi oleh Mahiaddin apabila dalam majlis menghadap Rabu lalu, Perdana Menteri mendakwa majoriti dimilikinya masih lagi mencukupi.

Sekaligus ini juga memberi makna bahawa sidang Parlimen pada bulan Septemer nanti sudah tidak perlu lagi untuk menentukan keabsahan Perdana Menteri.

Sidang media Ismail Sabri tadi sudah pun cukup dan memadai untuk mengesahkan Mahiaddin sudah tiada lagi sokongan majoriti.

Kedua, mengadakan sidang media untuk terus memberi sokongan kepada Mahiaddin di ketika MT UMNO sudah pun membuat keputusan setuju menarik sokongan terhadap kerajaan PN, ia juga dengan jelas bererti disiplin parti telah dilanggari.

Bukankah jika tiada Perhimpunan Agung, MT adalah badan pembuat keputusan paling tinggi sekali?

Sedemikian itu, Ismail Sabri dan semua Ahli Parlimen UMNO yang hadir dalam sidang media tadi sudah boleh dihadapkan ke Lembaga Disiplin bagi diambil tindakan sewajarnya, termasuk dipecat daripada parti.

Mereka dengan jelas melanggar disiplin parti dan Zahid Hamidi tidak perlu menunggu lebih lama untuk bertindak dan melakukan pembersihan dalam UMNO.

Dakwaan Ismail Sabri bahawa tindakannya mengadakan sidang media menyokong Mahiaddin tidak bererti tidak akur kepada keputusan parti juga tidak boleh diterima.

Apakah beliau bukan ahli UMNO dan kemenangannya sebagai Ahli Parlimen bukan atas watikah Presiden UMNO?

Mengapa bila sudah menang dan menjadi Ahli Parlimen tiba-tiba tidak mahu lagi terikat dengan ketetapan parti?

Selain itu, tafsiran Ismail Sabri bahawa menjatuhkan Mahiaddin dan kerajaan PN sebelum September sebagai suatu tindakan derhaka turut merupakan tanggapan yang tidak tepat dan mengelirukan.

Ini kerana sidang Parlimen untuk membawa usul percaya pada bulan September nanti adalah cadangan Mahiaddin sendiri kepada Agong yang kebetulan tarikh sidang Parlimen itu sudah pun lebih awal ditetapkan oleh beliau sendiri.

Agong hanya memperkenankan cadangan Mahiaddin itu berikutan beliau masih ingin bertahan dengan jawatannya, meskipun hakikatnya dengan 8 Ahli Parlimen UMNO sudah memaklumkan penarikan sokongan itu ia bermakna kedudukan majoriti Perdana Menteri sudah pun tiada lagi.

Jika benar Ismail Sabri prihatin dengan titah Agong, mengapa sebelum ini apabila baginda bertitah sehingga tiga kali agar Parlimen dibuka untuk bersidang, beliau tidak berbunyi apa-apa?

Apa pun, dengan dua perkara yang nyata terserlah melalui sidang media Ismail Sabri tadi, Zahid Hamidi selaku peneraju UMNO tidak harus berganjak atau berundur walau seinci pun dalam langkahnya untuk menyelamatkan parti itu daripada ditelan Bersatu.

Menjatuhkan Mahiaddin harus diteruskan sambil dalam masa yang sama inilah masanya untuk membersihkan parti daripada saki-saki mereka yang tidak setia dan lebih mementingkan jawatan semata-mata.


 (ShahbudinHusin 06/08/2021)




No comments: