Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mempersoalkan
tindakan Perdana Menteri (PM) Mahiaddin Yassin yang menangguhkan usul Undi
Percaya ke atas beliau sehingga sidang Parlimen bermula 2 September 2021.
Menurut Abdullah, PM boleh dengan mudah menggantikan baki sehari
Mesyuarat Khas Parlimen yang tidak dilaksanakan pada 2 Ogos lalu untuk
membentang Undi Percaya.
"Kita telah dimaklumkan PM dia akan (memanggil Parlimen)
bersidang 6 September. Itu persidangan pertama untuk penggal yang keempat.
"Tetapi kita nak maklumkan kepada beliau kita masih ada satu balance
Peraturan Mesyuarat pada 2 Ogos
lalu yang sebenarnya tertangguh. Jadi dia kena panggil satu hari itu untuk
memastikan setiap aturan yang sepatutnya. Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Takiyuddin memberi maklum mengenai Ordinan Darurat yang dibatalkan, tetapi ini
tidak berlaku, setelah berlaku penipuan atas apa yang berlaku pada 26 Julai
(Darurat dimansuh tanpa perkenan Agong)
"Apa maksudnya kena tunggu 6 September? Sedangkan kita ada
satu hari baki. Ambil saja waktu itu (ganti 2 Ogos) kalau dia ada majoriti, dia
kena panggil," katanya.
Tambah Abdullah, tindakan PM tersebut memperlihatkan beliau dalam
ketakutan. Katanya, kemungkinan adalah tinggi bahawa PM sendiri sedar beliau
tidak ada majoriti dan cuba melengah-lengahkan waktu untuk menguatkan
kedudukan.
"Hal ini menunjukkan dia tak ada majoriti. Dia penakut. Sebab
itu tidak panggil 2 Ogos mesyuarat. Sepatutnya mesyuarat itu penerangan Ordinan
Darurat, hendak dibatalkan atau tidak. Kena berlaku perdebatan dan mengundi
disebabkan peraturan Perkara 150 (3) itu (perlu) mengundi.
"Ini saya nak tegaskan kepada kerajaan PN. Kita ada satu hari
lagi (ganti) bila nak panggil mesyuarat? Ia dalam Aturan Mesyuarat, tak boleh
lepas pandang perkara itu sesuai Artikel 11 Standing Orders. Dia wajib penuhi Aturan Mesyuarat.
"Bila nak ganti 2 Ogos itu? Waktu itu paling sesuai bicarakan
soal keabsahan (kerajaan PN) dan juga Ordinan Darurat itu sendiri,"
katanya lagi.