Tunggu data negara lain untuk teruskan vaksin kepada pelajar SPM, kata Khairy

 


Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pemberian vaksinasi kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), demikian menurut Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Ini kerana katanya, ia selaras dengan keputusan United Kingdom yang menangguhkan pemberian vaksin kepada golongan berumur 12 ke 17 tahun.

Katanya, sebelum ini kerajaan telah meluluskan vaksin jenis Pfizer kepada golongan umur 12 hingga 17 tahun tetapi jawatankuasa vaksin syorkan ia perlu ditangguhkan terlebih dahulu.

Menurut Khairy dalam sesi penggulungan hari ini, keputusan itu berdasarkan kesan sampingan yang berlaku iaitu radang jantung di mana 40 kes per 1 juta dos vaksin Pfizer yang diberikan kepada lelaki berusia 12 hingga 29 tahun.

“Walaupun ia kes kecil tetapi kita bimbang, kita kena tunggu untuk data negara-negara lain bagi meneruskan vaksin ke atas golongan remaja ini.

“Separuh besar kes di United Kingdom tidak ada kematian tetapi kita tidak tahu kesan jangka panjang. Jadi JKJAV mencadangkan golongan ini tidak diberi vaksin.

“Soal pelajar SPM kita nak bagi vaksin tetapi setelah dapat pandangan pakar barulah kita putuskan tidak akan bagi,” katanya.

Ketika ini pemberian vaksin hanya kepada remaja yang akan mencapai usia 18 tahun termasuk pelajar tahun peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Vaksinasi bagi golongan ini akan diteruskan mengikut penjadualan dan janji temu yang ditetapkan.

Khairy turut memberi jaminan semua guru termasuk kakitangan sokongan harus divaksin sekurang-kurangnya satu dos sebelum sekolah dibuka pada 1 September ini.

No comments: