KERAJAAN YANG MEMALUKAN, APAKAH PERKENAN AGONG BATAL DARURAT BARU MAHU DIPOHON JUMAAT NANTI?


'Jawab Isnin depan' - Pembangkang asak Takiyuddin soal ordinan darurat





Sebagai rakyat dan warganegara, kita tentunya ada hak untuk berasa malu dengan kerajaan dan perangai pemimpin PN yang ada sekarang berhubung isu pembatalan proklamasi darurat yang dilakukan secara mengejut semalam.

Apa yang berlaku itu juga memperlihatkan Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin seperti tidak faham dan tidak tahu mentadbir negara mengikut lunas-lunas perlembagaan.

Tindakan kerajaan melalui Takiyuddin Hasan mengumumkan bahawa darurat sudah dibatalkan sejak 21 Julai lalu tetapi berdolak-dalik untuk menjelaskan sama ada perkara itu sudah mendapat perkenan Agong atau belum, dengan sendirinya menunjukkan kerajaan ini hilang wibawanya di mata rakyat.

Lebih buruk lagi, Speaker Parlimen, Azhar Azizan Harun pula seolah-olah melindungi Takiyuddin untuk memberi jawapan segera mengenainya.

Jika benar sudah ada perkenan Agong, apa yang susah sangat untuk Takiyuddin mahu mengatakan ia atau tidak dan mengapa juga Speaker perlu memberi masa sehingga Isnin bagi perkara itu diperjelaskan kepada rakyat?

Di mata mereka yang waras, sudah tentu ini memberi gambaran perkenan Agong sebenarnya tidak atau belum lagi diperolehi?

Apakah ia bermakna Jumaat nanti ketika Mahiaddin menghadap Agong sebelum mempengerusikan mesyuarat mingguan kabinet, barulah perkenan baginda mahu diperolehi?

Mesyuarat mingguan kabinet diadakan setiap Rabu, tetapi apabila ada sesi Parlimen bersidang, ia diubah kepada hari Jumaat.

Jika begitu, bagaimana pembatalan darurat boleh lebih dulu diumumkan sebelum perkenan Agong diperolehi?

Dalam hal ini adalah disyaki tindakan mengumumkan darurat sudah dibatalkan adalah untuk meredakan kepanasan sidang khas Parlimen ini dan bagi mengelakkan serangan lebih keras kepada kerajaan oleh blok pembangkang.

Tetapi, tidakkah Mahiaddin sedar bahawa sebagaimana untuk mengisytiharkan darurat ia memerlukan perkenan Agong, maka untuk membatalkannya juga perlukan perkenan baginda?

Sesungguhnya apa yang berlaku ini bukan saja amat memalukan dari segi kewibawaan kerajaan dan Perdana Menteri dalam mematuhi perlembagaan, malah memperlihatkan sekali lagi penderhakaan yang nyata kepada Agong jika terbukti perkenan baginda belum diperolehi lagi.

Ehhh…berapa kali nak derhaka dalam setahun?

Tidak pernah negara kita ada kerajaan dan Perdana Menteri yang begini lekeh dalam mengurus negara.

Semalam pula, selepas membentangkan Pelan Pemulihan Negara atau PPN pada sebelah lagi, Mahiaddin turut menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab apabila gagal hadir ketika sesi penggulungan pada sebelah petang.

Penggulungan PPN sebaliknya dilakukan oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sebagaimana disebut oleh Anwar Ibrahim, tidak pernah sejak merdeka, pembentangan isu penting yang dilakukan oleh Perdana Menteri tetapi digulung oleh menteri biasa.

Tak malukah Mahiaddin?

Walaupun dilaporkan Mahiaddin tidak hadir penggulungan semalam kerana mempengerusikan mesyuarat MKN, tetapi alasan tersebut tidak masuk akal sama sekali.

Selain jadual sesi penggulungan di Parlimen itu sudah ditetapkan lebih awal sebelum ini,bukankah masa mesyuarat MKN boleh diubahsuai mengikut kelapangan masa Mahiaddin?

Tanpa keraguan, semua ini jelas menunjukkan Mahiaddin tiada rasa tanggungjawab, ingin lepas tangan dan tidak sanggup berhadapan dengan Ahli-Ahli Parlimen ketika sesi penggulungan.

Kalau takut berdepan Ahli-Ahli Parlimen, buat apa dulu sanggup jadi Perdana Menteri?

Sementara kita berhak berasa malu dengan kelakuan Mahiaddin yang seolah-olah tiada perasaan malu itu, persoalan lain yang harus kita fikirkan ialah berapa lama lagi kita sanggup berada di bawah kerajaan tiada wibawa, tiada keabsahan dan paling lekeh yang tiada perasaan malu ini? 


(ShahbudinHusin 27/07/2021)

No comments: