Tajuddin dikompaun tak pakai pelitup muka di Parlimen


4PAM: Tajuddin's manner at press conference 'rude and disgusting'

 Eng Lai berkata siasatan dilakukan selepas gambar Tajuddin yang melanggar SOP PKP itu menjadi tular. - Gambar/ Media sosial

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka di bangunan Parlimen, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata siasatan dilakukan selepas gambar perbuatannya yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu menjadi tular.
"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati Tajuddin telah menghadiri Sidang Mesyuarat Khas Ahli Dewan Rakyat.
"Pada hari yang sama, jam 2.30 petang, beliau didapati tidak memakai pelitup muka sewaktu sedang bersama dengan seorang individu lain di ruang legar Parlimen.
"Atas pelanggaran SOP tersebut maka satu notis kompaun telah dikeluarkan terhadap beliau pada hari ini (Selasa) jam 1 petang, nilai kompaun akan diputuskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
BACA: Tajuddin dikompaun RM1,500 gagal pakai pelitup muka semasa sidang media
Eng Lai turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP PKP dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di tempat awam dalam usaha memutuskan penularan jangkitan pandemik COVID-19.
Sebelum ini, Tajuddin pernah dikompaun atas kesalahan serupa iaitu gagal memakai pelitup mula semasa mengadakan sidang media berkaitan kemalangan tren LRT di stesen KLCC, pada 25 Mei.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, dilapor berkata kesalahan dilakukan di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan-peraturan Pencegah dan Kawalan Penyakit Berjangkit 2021.
Terdahulu, media melaporkan polis menjalankan siasatan terhadap Tajuddin yang juga bekas Pengerusi Prasarana, susulan video yang tular di media sosial menunjukkan beliau tidak memakai pelitup muka ketika sidang media berkenaan.
Tajuddin ditamatkan perkhidmatannya sebagai Pengerusi Prasarana pada 26 Mei lalu.