Putrajaya umum PKP 3.0, tanda pagar #KerajaanGagal ‘trending’

 

PETALING JAYA: Tanda pagar #KerajaanGagal kini menjadi tumpuan di media sosial dengan ahli politik dan orang ramai menzahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan kerajaan meletakkan enam daerah di Selangor bawah PKP 3.0.

Dalam tempoh singkat, lebih 5,000 catatan di muat naik dengan tanda pagar berkenaan, susulan pengumuman PKP itu yang merangkumi pelbagai sekatan pergerakan ke atas jutaan penduduk selain waktu perniagaan yang dipendekkan selama dua minggu, mulai Khamis ini.

Antara yang tidak puas hati adalah pengguna @JazliAziz yang berkata ketiga-tiga PKP di Selangor setakat ini diumumkan dengan SOP berlainan pada setiap kali.

“Jika anda perlu bukti bahawa #KerajaanGagal tidak ada rancangan, lebih reaktif dan bukannya proaktif, inilah dia,” katanya.

Pengguna @AymnHzwni berkata: “Ketika seluruh dunia bersiap sedia untuk pulih daripada kegawatan ekonomi di sebalik menjalankan program vaksinasi (berkesan), Malaysia masih di takuk lama apabila pandemik bermula.”

Pengguna @sydzhir02, mengeluh kerana terpaksa menyambut satu lagi hari raya bawah PKP.

Sementara itu Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, kesal kerana kerajaan tidak menyatakan industri dan sektor mana yang boleh meneruskan operasi semasa PKP berkuatkuasa.

“Terpaksa menunggu sehingga esok untuk mendapatkan penjelasan dan SOP…bila mereka (kerajaan) akan belajar (beri maklumat penuh),” ujar beliau.

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran, menyoal kenapa kerajaan Perikatan Nasional mempertaruhkan mata pencarian rakyat dengan satu lagi pusingan PKP.

“Bilakah anda akan beritahu rakyat Malaysia apa SOP sepenuhnya? Kenapa tunggu hingga minit terakhir? Ini bukan PKP pertama, ia adalah yang ketiga,” kata beliau.