Hamid akan dedahkan tokoh penting guna polis untuk tujuan politik

 



TIDAK sampai beberapa jam mengakhiri tugas sebagai Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberitahu beliau akan membuat pendedahan berhubung salah guna kuasa seorang tokoh berjawatan penting dan dipercayai bergelar Datuk Seri.

Beliau memberitahu Astro Awani, individu tersebut dipercayai menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan salah satu cabang institusi kepolisan negara dipercayai Cawangan Khas (Special Branch) bagi tujuan politik.

“Saya akan membuat pendedahan mengenai salah guna kuasa untuk tujuan menekan musuh politik individu berkenaan,” katanya dalam khidmat pesanan ringkas (WhatsApp) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Hamid tidak menyatakan bila pendedahan itu akan dilakukannya.

Abdul Hamid, 62, menamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Polis Negara dan digantikan. Timbalan beliau, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Kalaupun pendedahan itu dilakukan ia bukanlah sesuatu mengejutkan kerana pada 30 April lalu, Abdul Hamid yang dikenali sebagi seorang pegawai kanan polis berintegriti membidas campur tangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam pelantikan pegawai-pegawai polis.

Oleh itu Abdul Hamid mencadangkan supaya menteri atau ahli politik tidak lagi mempengerusikan Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP).

Sebaliknya beliau mencadangkan individu tidak berpihak seperti bekas ketua hakim atau hakim wajar dilantik menduduki jawatan itu.

‘’Menteri Dalam Negeri sebagai Pengerusi SPP juga tidak sepatutnya campur tangan dalam pengurusan PDRM,’’ tegasnya dalam sidang media terakhir sebagai Ketua Polis Negara.

Abdul Hamid juga menggesa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) amalan melompat parti yang berlaku secara berleluasa.

‘’Saya lihat dalam politik, rasuah berlaku merata-rata dan perbuatan mengugut itu rasuah namanya. Saya minta SPRM masuk, ambil tindakan dan jangan takut. Sudah lama sangat rakyat tengok perbuatan itu, muak terhadap sekejap katak lompat sana sini,’’ katanya.