Ambil perhatian jumlah pesakit ICU, elak sistem kesihatan lumpuh, kata Najib

 

FMT Reporters
 -

Najib Razak berkata jumlah positif setiap hari boleh naik dan turun disebabkan jumlah saringan dibuat setiap hari juga tidak menentu.

PETALING JAYA: Jumlah bilangan pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) perlu diambil perhatian serius bagi mengelak berlaku kelumpuhan sistem kesihatan negara, kata bekas perdana menteri, Najib Razak.

Beliau berkata, apa yang paling ditakuti dalam pandemik bukan saja jumlah kes positif semakin meningkat tetapi sistem kesihatan yang lumpuh di mana pesakit kritikal dan perlu rawatan segera ditolak berkali-kali oleh hospital kerajaan serta swasta disebabkan kapasiti rawatan sudah berlebihan.

“Sebab itu, saya lebih mengambil perhatian setiap hari dengan angka jumlah pesakit yang dikatakan aktif Covid, terutamanya bilangan pesakit dalam ICU dan pesakit pada tahap paling serius iaitu memerlukan bantuan pernafasan,” katanya di Facebook.

Najib berkata, jumlah positif setiap hari boleh naik dan turun disebabkan jumlah saringan dibuat setiap hari juga tidak menentu.

“Seperti angka 2,500 semalam yang merupakan kejatuhan besar berbanding hari-hari sebelumnya (adalah) disebabkan jumlah saringan turun dengan banyak beberapa hari lalu semasa cuti awam dan makmal-makmal swasta tak dibuka.

“Bagaimanapun, jumlah pesakit yang serius dan perlukan jagaan ICU serta bilangan pesakit yang terima bantuan pernafasan tidak menipu sebab tak terkesan dengan cuti awam,” katanya.

Beliau berkata, keadaan sekarang lebih serius berbanding tempoh darurat dan PKP 2.0 diumumkan, di mana bilangan pesakit dalam ICU naik dari 228 dua minggu lepas ke 300 minggu lepas dan semalam mencecah 352.

“Bilangan pesakit paling serius pula naik dari 93, dua minggu dulu ke 133 minggu lepas ke 186 orang semalam, masing-masing adalah 88% dan 113% lebih ramai berbanding masa darurat diumum.

“Cuba bayangkan apakah keadaan negara jika angka-angka ini mengikut trend dan berganda sekali lagi? Ini dibuktikan apabila Kementerian Kesihatan dan hospital-hospital swasta mula umum kapasiti mereka telah kritikal,” katanya.

No comments: