Setelah empat hari berlaku sejak bekas Ketua Polis Negara, Hamid Bador menggesa SPRM menyiasat amalan lompat parti yang didakwanya berleluasa dalam kerajaan PN dan mengaitkannya dengan kemungkinan berlakunya rasuah, Ketua Pesuruhjaya agensi tersebut, Azam Baki akhirnya tampil melantunkan suaranya.
Dalam suaranya yang tersimpan selama empat hari sejak isu tersebut menjadi bualan ramai, beliau berhujah, tindakan ahli politik melompat parti tidak menjadi satu kesalahan di negara ini melainkan jika melibatkan pembayaran wang oleh pihak tertentu.
Menurut beliau, mana-mana pemimpin dan ahli politik bebas melompat parti mengikut pendirian mereka berikutan tiada undang-undang yang melarang mereka daripada berbuat demikian.
“Lagipun Akta Anti Lompat Parti tidak wujud lagi, jadi sebab itu saya tidak mahu komen sangat.
“Ini bukan satu kesalahan dan terdapat juga mereka keluar parti jadi hebat, itu bukan satu kesalahan di negara kita,” katanya lagi.
Meskipun benar apa yang disebutkan Azam itu, tetapi ini bukanlah jawapan yang dikehendaki rakyat daripadanya sebagai peneraju SPRM.
Malah, Hamid Bador sendiri pasti tidak memerlukan jawapan sedemikian.
Ini kerana, berhujah mengatakan melompat bukan suatu kesalahan berikutan tiada undang-undang menghalangnya adalah jawapan yang sudah diketahui semua orang.
Pelajar sekolah menengah berumur 15 atau 16 tahun yang bakal mengundi dua tiga tahun akan datang pun ramai sudah tahu mengenai perkara itu.
Walaupun undang-undang membenarkannya, tetapi oleh kerana penglibatan seseorang dalam parti melibatkan kepercayaan, keyakinan ideologi dan prinsip perjuangan, tidak bermakna apa yang dibenarkan itu halal semuanya.
Lebih-lebih lagi bagi yang berjawatan Ahli Parlimen dan kerajaan yang berkuasa pula sedang diragui kedudukan majoritinya, adakah mereka yang tiba-tiba melompat menyertai kerajaan itu saja-saja berbuat demikian tanpa sebab?
Atau bolehkah dipercayai mereka melompat itu semata-mata ikhlas demi untuk agama, bangsa dan negara tanpa setitik pun ganjaran diterima?
Sedemikian, di situlah pentingnya siasatan dijalankan oleh SPRM sebagai agensi untuk mencegah perbuatan rasuah untuk mengetahui sama ada yang melompat itu dibayar, dijanjikan jawatan atau sebagainya.
Tetapi, janganlah sebelum siasatan dijalankan dan Hamid Bador yang membuat dakwaan belum dipanggil memberi keterangan, SPRM sudah awal-awal berhujah mengatakan melompat partu bukan suatu kesalahan.
Kenyataan atau hujah sedemikian lebih menjurus kepada pemahaman bahawa SPRM enggan melakukan siasatan terhadap lompat katak dalam kerajaan PN sekarang serta lebih cenderung untuk mempertahankan kerajaan sedia ada.
Kalau Azam meneliti kenyataan Hamid sebelum ini juga, apa yang dimahukannya ialah agar siasatan dijalankan.
Yang pergi berhujah mengatakan lompat parti bukan suatu kesalahan buat apa?
Siasatlah dulu!!
Lagi pula, beberapa hari kebelakangan ini sudah banyak pelbagai pihak tampil membuat laporan kepada SPRM sendiri agar siasatan dilakukan berikutan pendedahan Hamid Bador itu.
Maka kepada Azam, berhentilah berhujah seperti ahli politik dalam sesuatu perkara yang belum disiasat serta belum diketahui kebenarannya lagi.
Peranan SPRM atau tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya bukan untuk memberi hujah, tetapi membanteras rasuah dengan melakukan siasatan dan membawa ke muka pengadilan.
(ShahbudinHusin 04/05/2021)