PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan mesti mengambil tindakan terhadap guru yang mengganggu pelajar perempuan menggunakan bahasa kotor dan berunsur lucah, kata Pesuruhjaya Kanak-kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
Noor Aziah Mohd Awal menyelar budaya toksik segelintir guru yang saling melindungi antara satu sama lain apabila terdapat aduan terhadap guru, termasuk sikap memperlecehkan seorang aktivis pelajar secara seksual di media sosial.
“Tindakan mesti diambil terhadap guru yang mengganggu aktivitis pelajar yang cukup berani mempertahankan hak kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan.
“Tingkah laku buruk sesetengah guru mencemarkan imej kerjaya yang begitu mulia.”
Noor Aziah mengulas isu pelajar perempuan yang mendakwa di platform perkongsian video TikTok bahawa guru lelakinya bergurau mengenai rogol di dalam kelas.
Ain Husniza Saiful Nizam, 17, berkata, ia berlaku ketika guru itu membincangkan isu gangguan seksual semasa mata pelajaran pendidikan jasmani dan kesihatan di sekolah.
Selepas videonya tular, segelintir orang termasuk yang dipercayai adalah guru membuat komen lucah mengenai tubuh badan remaja itu. Remaja terbabit menuntut supaya mereka memohon maaf.
Selain itu, Noor Aziah turut memetik sebagai contoh isu “pemeriksaan haid” yang beberapa minggu sebelum ini dilihat mencetuskan kegusaran ibu bapa malah masyarakat umum.
Noor Aziah berkata, guru memainkan peranan penting dalam merealisasikan visi Akta Pendidikan 1996 yang bertujuan untuk “memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan”.
Beliau menyifatkan guru sebagai teladan dan mesti menyedari sebarang tindakan atau kegagalan untuk bertindak oleh golongan itu akan memberi kesan terhadap pelajar selama bertahun-tahun.
“Sekolah mesti dijadikan tempat yang selamat untuk kanak-kanak, dan lebih banyak mekanisme hendaklah dirancang dan dilaksanakan agar kanak-kanak dapat menikmati masa mereka belajar, memperoleh pendidikan yang bermanfaat dan sihat yang akan berlangsung seumur hidup mereka,” katanya.
Menurutnya, fungsi sekolah, latihan guru dan sistem pendidikan perlu dikaji semula untuk memastikan visi Akta Pendidikan dapat dicapai.