Setelah berakhir krisis politik di Perak, yang menjadi penantian kini ialah apakah pembelaan yang akan dilakukan oleh Muhyiddin Yassin kepada Ahmad Faizal Azumu atau Peja?
Apakah dengan Bersatu dan Pas akhirnya sedia menyokong Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar sebagaimana yang dikehendaki oleh UMNO, tetapi melakukannya dengan cara memalukan Peja, nasib bekas Menteri Besar Perak itu akan berakhir begitu saja?
Apakah Peja bakal senasib dengan bekas Menteri Besar Johor, Dr. Shahruddin Jamal yang juga terpaksa menyerahkan jawatannya kepada pemimpin UMNO, Hasni Mohamad mengambil alih tempatnya, namun hanya diberi imbuhan menjaga nanas selaku Pengerusi Lembaga Nanas saja?
Dalam hal ini, sesuatu yang tidak harus kita lupa ialah kedudukan Peja sebagai Timbalan Presiden Bersatu, pemimpin nombor dua dalam parti selepas Muhyiddin.
Sebagai pemimpin nombor dua Bersatu, apabila beliau dimalukan oleh UMNO melalui usul undi percaya, tetapi sebenarnya merupakan undi tidak percaya untuk menjatuhkannya, bermakna Bersatu secara keseluruhannya turut sama telah dimalukan.
Maka, Peja sepatutnya dibela dengan memberikan kedudukan yang setaraf dengan jawatannya dalam Bersatu.
Tentu akan memalukan sekali lagi andai beliau hanya diberi jawatan “sekadar di pinggiran” seperti yang diberikan kepada Dr. Shahruddin, bekas Menteri Besar Johor sebelum ini.
Lagi pula, dalam Bersatu, dua Naib Presidennya, Dr. Radzi Jidin dan Dr. Ronald Kiandee adalah masing-masing diberi jawatan Menteri Kanan Pendidikan serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan.
Seorang lagi Naib Presidennya, Rafiq Naizamohideen adalah Exco Kerajaan Negeri Melaka.
Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin diberikan jawatan Menteri Dalam Negeri dan calon yang kalah bertanding jawatan Naib Presiden, Redzuan Md Yusof atau Pak Wan masih dikekalkan sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas.
Azmin Ali yang dipecat daripada PKR dan kemudian menyertai Bersatu, lalu diberi jawatan Ahli MPT, senang-senang dapat jawatan Menteri Kanan MITI.
Beberapa pemimpin lain dalam Bersatu, sama ada memang asal daripada Bersatu atau melompat daripada UMNO atau PKR, masing-masing ada jawatan dalam kerajaan sebagai menteri atau timbalan menteri.
Maka, takkan Peja sebagai Timbalan Presiden Bersatu hanya mahu dibiarkan terhoyong-hayang begitu saja tanpa jawatan?
Selain mengaibkan institusi parti dengan membiarkan beliau tanpa jawatan, jika berlanjutan sampai ke pemilihan seterusnya, jawatan yang disandangnya sekarang pun boleh turut sama melayang.
Mahu tidak mahu, Peja semestinya harus diberikan jawatan dalam kerajaan yang bersesuaian dengan kedudukannya.
Setelah dijatuh dan dimalukan oleh UMNO, apabila diberikan jawatan, setidak-tidaknya ternampaklah ada pembelaan terhadapnya.
Muhyiddin dan Bersatu pun tidaklah dipandang orang sebagai tidak tahu mengenang budi serta menghargai pengorbanan Peja selama ini.
Selain tentu banyak sumbangan dan jasa beliau, baik kepada kerajaan negeri atau parti, kemuliaan dan sumbangan terbesar Peja ialah kesediaannya berundur secara baik dan kemudian akur dengan keputusan Bersatu menyokong Saarani sebagai Menteri Besar baharu, meskipun orang itulah yang mengetuai gerakan menggulingkannya melalui tipu daya usul percaya.
Orang lain belum tentu ada kesediaan berjiwa besar sepertinya.
Maka, jangan tidak dihargai dan tidak dibela nasib Peja dengan tidak memberikannya apa-apa, walaupun beliau memang diketahui sudah kaya-raya.
Tanpa keraguan dan pernah ditulis sebelum ini, paling sesuai untuk menghargai Peja ialah dengan Muhyiddin tanpa berlengah lagi melantiknya sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Di samping padan dengan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden Bersatu dan bekas Menteri Besar, pejabat Timbalan Perdana Menteri dan kediaman rasmi Sri Satria pun sudah lama kosong begitu saja.
Dengan adanya Peja mengisi pejabat dan kediaman itu, sekurang-kurangnya meriah juga dua tempat tersebut.
Para penyokong Peja pun adalah juga tempat baru untuk berteruh dan bernaung.
(Shahbudindotcom 10/12/2020)