PENANG JANGAN DOK BUAT LECE....HANGPA BAYAQ LA KAT LEBAI TU..

 

Bayar RM50 juta untuk air kami, baru bincang nadir bumi, kata MB Kedah kepada P Pinang


ALOR SETAR: Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor mahu Pulau Pinang membayar RM50 juta setahun untuk penggunaan sumber air mentah negeri itu sebelum mempersoalkan beliau mengenai penerokaan nadir bumi di Kedah.

Beliau berkata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) tidak harus mempersoalkan hak kerajaan Kedah menceburi industri nadir bumi tetapi mendiamkan diri bersabit penggunaan sumber air negeri itu.

Sebaliknya PBAPP harus membayar RM50 juta setahun kepada Kedah kerana menggunakan sumber air mentah dari hutan simpanan negeri untuk sekian lama.

“Pulau Pinang tidak membayar sumber air mentah kepada Kedah khususnya kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK),” kata Sanusi.

Beliau berkata PBAPP mendapat bekalan air mentah daripada Kedah secara percuma namun menjana keuntungan besar susulan kegunaan yang banyak melibatkan sektor industri dan perkapalan di Pulau Pinang.

Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri Kedah telah mengemukakan beberapa tuntutan secara bertulis kepada Pulau Pinang menuntut caj air mentah kira-kira RM50 juta setahun.

“Mula-mula hantar tuntutan pada 2010, tahun ini pun hantar tapi tak pernah mendapat sebarang jawapan dan bayaran (dari kerajaan Pulau Pinang).

“Tak patutlah PBAPP yang dapat air mentah percuma, kemudian bagi komen tak wajar untuk Kedah (menerokai nadir bumi) sebab Ulu Muda di bawah kedaulatan Kedah,” katanya.

Pada 2 Disember, Sanusi mengumumkan sebuah syarikat dilantik menjalankan kerja-kerja penerokaan untuk melombong mineral berharga itu yang beliau anggarkan bernilai RM62 bilion.

Keputusan Sanusi itu dikritik oleh Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Jaseni Maidinsa yang menggesa supaya rancangan untuk menjalankan perlombongan berskala besar di Ulu Muda dihentikan serta-merta.

Jaseni mendakwa kelulusan izin perlombongan itu akan membahayakan bekalan air di tiga negeri di utara yang melibatkan 4.2 juta pengguna.

Sanusi berkata tidak ada pihak harus mempersoalkan hak kerajaan negeri ke atas perkara membabitkan tanah dan galian di Kedah.

Beliau berkata apa sahaja keputusan atau tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri Kedah adalah demi kepentingan rakyat dan negeri.


No comments: