HUJAH TAKIYUDDIN UNTUK MENGHALANG UNDI PERCAYA/TIDAK PERCAYA TERHADAP PM DISEGERAKAN DI PARLIMEN AMAT DANGKAL


Semalam, Speaker Parlimen kata beliau tiada kuasa untuk menentukan usul percaya/tidak percaya terhadap PM dibentangkan di Parlimen dengan segera. Speaker tiada kuasa di dalam menentukan kedudukan usul? Mengapa Speaker di Perak tiada masalah untuk melakukannya? Jika begitu, elok Speaker di Parlimen menjadi speaker PA System saja, ada juga kuasa Watt.

Speaker Parlimen kata, yang berkuasa adalah menteri. Wahai Speaker, cuba beritahu menteri mana yang bodoh akan membenarkan usul tidak percaya terhadap PM yang melantiknya sebagai menteri? Speaker tidak perlu perbodohkan rakyat. Sanggup jadi robot berada di Parlimen.

Hari ini, menteri berkaitan Parlimen, Takiyuddin pula cuba perbodohkan Ahli-Ahli Parlimen yang kebanyakannya lebih lama dari Takiyuddin berada di Parlimen. Dia juga cuba perbodohkan rakyat dengan membawa dua hujah mengapa usul percaya/tidak percaya terhadap PM itu tidak perlu disegerakan.

Pertama hujahnya, beliau mengimbas kembali tentang dokumen yang dibawa oleh Anwar Ibrahim ke Istana di mana Anwar menyatakan beliau punyai jumlah sokongan yang kukuh. Beliau menyatakan mengapa Anwar tidak nyatakan senarai nama MP yang menyokongnya? Walhal, Anwar melakukan proses yang sama seperti Muhyiddin lakukan sewaktu merampas kerajaan mandat rakyat pada Feb yang lalu di mana tiada siapa tahu senarai nama yang ada pada Muhyiddin ketika itu. Apakah waktu itu nama Mahathir, Mukhriz, Syed Sadiq, Maszlee Malik, Amiruddin Hamzah dan beberapa yang lain menyokong Muhyiddin? Mana senarai nama 114 orang yang dikatakan menyokong Muhyiddin ketika itu?

Senarai nama ini tidak berbangkit sekiranya proses seterusnya berjalan di mana semua Ketua Parti dipanggil ke Istana dan ketika itu baru diketahui samada Anwar benar-benar ada sokongan atau tidak. Tetapi kita sedia maklum proses tersebut tidak berlaku. Jika proses tidak berlaku sepenuhnya, Takiyuddin tidak perlu mengambilnya sebagai hujah untuk menyatakan Anwar tiada sokongan dan Muhyiddin masih memiliki sokongan majoriti.

Hujah kedua Takiyuddin untuk memperkuatkan dakwaannya bahawa Muhyiddin masih ada sokongan majoriti sebagai PM adalah apabila beliau mengambil contoh undian bajet peringkat dasar di mana bajet itu lulus apabila tiada undian belah bahagi diadakan. Pada pandangan Takiyuddin, sokong Bajet bermaksud sokong PM? Lupakah beliau kepada titah Tuanku agar jangan menyulitkan pembentangan bajet? Bajet ini untuk rakyat bukan untuk PM. Amat zalim kita menolak PM tetapi rakyat menjadi mangsa walaupun segala tuntutan kita terhadap bajet itu telah diberi perhatian secara dasarnya.

Oleh kerana dua hujah dangkal di atas, maka Takiyuddin anggap tidak menampakkan bahawa PM hilang sokongan maka usul tersebut tidak perlu disegerakan.

Jika bajet mahu diambil kira, butakah mata Takiyuddin bahawa setakat ini kerajaan tidak pernah memperolehi undian melepasi 112 undian terhadap bajet di peringkat kementerian? Adakah kerajaan sekarang kukuh apabila undian di Parlimen terhadap bajet tidak sampai ke angka 112 ? Kerajaan sebenarnya amat lemah jika pun memperolehi hanya separuh dari keseluruhan Ahli Parlimen.

Jika kedua2 hujah Takiyuddin itu boleh dipercayai untuk menyatakan Muhyiddin sebenarnya punyai sokongan kuat, sewajarnya tidak perlu takut dan bimbang untuk membawa usul PERCAYA kepada PM seperti di Dun Perak. Kalau mahu bawa usul PERCAYA pun tidak berani, usul TIDAK PERCAYA pun takut, maka apakah status kerajaan sekarang?

Situasi ini menjadikan kerajaan kita tidak diyakini oleh pelabur. Rakyat menjadi mangsa akibat sikap orang politik yang mengampu pemimpin demi perut mereka sendiri. Sudahlah kamu menjadi kerajaan dengan cara khianat dan belot kepada mandat rakyat, masih juga tidak punyai sokongan kukuh tetapi masih mahu memegang kuasa. Amat malang sekali, parti Islam turut bersekongkol dengan puak ini bahkan paling kuat mengampu.

WFAUZDIN NS

 

No comments: