Pembahagian kerusi antara gabungan baru Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah sangat tidak logik, kata Dr Mazlan Ali.
Menurut pensyarah kanan pengajian politik di Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur itu, usia penubuhan PN kurang tiga bulan sedangkan sejarah rundingan agihan kerusi bagi sesebuah kolisi baru mengambil tempoh lebih lama.
“Misalnya, Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan (PH) memakan masa berbulan-bulan malah bertahun,” kata penganalisis politik dan pentadbiran itu dalam respon awalnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.
Sejak malam tadi, tular senarai cadangan calon Parlimen PN bagi PRU-15 membabitkan sembilan parti komponen gabungan politik itu.
Mengulas lanjut, Dr Mazlan berpendapat senarai yang turut mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju untuk tidak bertanding itu mungkin strategi pihak tertentu dengan tujuan-tujuan tertentu.
“Saya kurang yakin ia sebagai maklumat yang benar. Maklumat yg berstatus ‘sulit’ itu bocor kurang dua minggu polemik isu pembahagian kerusi antara cadangan Wan Saiful Wan Jan yang minta Umno berkorban yang kemudian ditempelak pemimpin-pemimpin utama Umno,” ujarnya.
Beliau berkata, maklumat yang bocor itu mendedahkan Bersatu mendapat kira-kira 45 kerusi Parlimen sekaligus kelihatan sangat bertentangan dengan respon pemimpin-pemimpin Umno.
“Sebelum ini pemimpin Umno menganggap permintaan 50 kerusi untuk Bersatu sebagai sesuatu yang tidak berpijak pada realiti,” jelasnya.
Bahkan, tambahnya, pemimpin-pemimpin Umno turut menegaskan kerajaan PN bukan satu kolisi rasmi sebaliknya lebih kepada persetujuan ahli-ahli Parlimen untuk apa yang didakwa menyelamatkan negara.
“GPS (Gabungan Parti Sarawak) juga menafikan mereka adalah ahli gabungan PN,” kata Dr Mazlan lagi merujuk kepada gabungan empat parti itu yang keluar dari Barisan Nasional (BN) sebulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).