BUKAN SAYA CADANGKAN NAMA ANAK SAYA....BOLEHKAH KITA PERCAYA?



Tun Mahathir Mohamad berkata, cadangan menjadikan anaknya, Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam usaha PH Plus merampas semula kerajaan, bukan datang daripadanya.

Tegas Tun Mahathir lagi, beliau juga tiada hak untuk menentang sebarang cadangan berkaitan anaknya semata-mata demi kepentingan dirinya.

Berikut adalah kenyataan penuh Tun Mahathir berkaitan perkara tersebut:-

•••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••

MUKHRIZ SEBAGAI DPM

1. Saya sedar saya akan dikritik apabila menama anak saya Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri II.

2. Cadangan ini tidak datang dari saya. Dalam kenyataan bersama Mohamad bin Sabu, Ketua Parti Amanah dan Lim Guan Eng, DAP pada 22 Jun, pelantikan Mukhriz sebagai TPM II sudahpun disebut.

3. Saya berada dalam keadaan serba salah. Di waktu saya jadi Perdana Menteri kali pertama saya telah larang anak saya dari bergiat dalam politik, khusus sebagai ahli parti Kerajaan. Saya tidak hendak dituduh mengamal nepotisme, memberi keistimewaan kepada keluarga saya.

4. Tetapi apabila saya tidak lagi menjadi Perdana Menteri, tanggungjawab menjaga nama saya, tidak sepatutnya dipikul berterusan oleh anak saya. Mereka dibebas untuk berpolitik. Jaya atau tidaknya politik mereka bergantung kepada diri mereka.

5. Apabila nama Mukhriz dicadang untuk jawatan-jawatan tertentu, saya tidak ada hak untuk menentang kerana kepentingan diri saya.

6. Sama ada penjelasan saya ini dipercayai atau tidak, terpulanglah kepada masing-masing. Sudah tentu orang yang bermusuh dengan saya, akan bercakap sinis. Ini saya terima kerana memang pun ia adalah naluri manusia.

Tun Mahathir Mohamad

29 Jun 2020.

•••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••

Walaupun Tun Mahathir menyebut terpulang kepada masing-masing sama ada mahu percaya atau tidak perjelasannya itu, ada beberapa kemusykilan yang masih memerlukan jawapan ikhlas daripadanya.

Pertama, jika beliau sendiri terbukti tidak malu-malu mencalonkan dirinya sendiri sebagai Perdana Menteri buat kali ketiga, di mana logiknya dia tidak boleh mencadangkan nama anaknya untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri?

Bukankah biasanya paling sukar bagi seseorang ialah menonjolkan nama sendiri berbanding menaikkan nama orang lain?

Tetapi, dengan mencalonkan nama sendiri pun tidak ada masalah, takkanlah mencadangkan nama anak tiba-tiba jadi susah?

Kedua, berikutan pencalonan dirinya ditolak oleh PKR dan beliau kemudian boleh menamakan Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri yang baru, maka di mana pula sukarnya untuk menamakan anak sendiri untuk dletakkan sebagai Timbalan Perdana Menteri?

Ya ampun…..sungguh pelik!!

Ketiga, kalau Tun Mahathir sendiri boleh menolak pencalonan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, di mana munasabahnya beliau tidak berhak menolak cadangan berkaitan anaknya untuk dijadikan Timbalan Perdana Menteri, itu pun jika benar cadangan menamakan Mukhriz itu datang daripada pihak lain?

Ya ampun…lagi pelik!!

Tun, Perdana Menteri ke-4 dulu pernah berpesan – Don’t overstay your welcome!! 

(Shahbudindotcom 29/06/2020)