TUN M JATUH DI PUSAT, MUKHRIZ TUMBANG DI KEDAH, TIBA MASANYA TUN M SOKONG ANWAR



Kejatuhan kerajaan PH di Pusat angkara pembelotan dan khianat dari kalangan pimpinan Bersatu dan Keadilan memberi satu pengajaran besar terhadap PH terutamanya kepada Tun M sendiri selaku PM ketika itu.

Kesannya maka berlaku pula pengkhianatan di beberapa negeri seperti Johor, Perak, Melaka dan terbaru di Kedah.  Mereka yang memandang kedudukan dan kesenangan tanpa menghiraukan mandat rakyat sudah tentu akan mengikuti siapa yang menguasai kerajaan Pusat.  Maka, acara lompat melompat pun berlaku demi kepentingan diri masing-masing.  Setakat ini, hanya negeri Selangor, N.Sembilan dan Sabah sahaja yang masih pertahankan mandat rakyat yang menyokong PH. 

Kedah, negeri yang dipimpin oleh anak Tun M turut tumbang.  Cita-cita Tun M mahu berkuasa lebih lama di Pusat dan mahukan anaknya diangkat lebih tinggi di dalam kerjaya politik negara hancur sekelip mata.  Kedua-duanya menjadi mangsa pengkhianatan. 

Pengkhianat wajar dipersalahkan, tetapi sikap Tun M sendiri yang juga khianat kepada persefahaman dan perjanjian di dalam PH turut memberi sumbangan kepada kejatuhan kerajaan PH.  Tun M tidak pernah menghormati Anwar sebagaimana Anwar menghormatinya.  Tun M tidak pernah ikhlas menyokong Anwar sebagai yang dijanjikan untuk menggantikannya sebagaimana Anwar sentiasa menyokongnya sepanjang Tun M menjadi PM.

Betapa Anwar memberikan sokongan padu kepadanya hingga di saat-saat kejatuhan kerajaan PH tidak pernah dihargai oleh Tun M.  Cadangan Anwar sendiri di dalam mesyuarat PH yang menetapkan Tun M terus menjadi PM sehingga beliau sendiri menetapkan mahu bersara adalah bukti sokongan dan tolak ansur Anwar terhadap Tun M.  Malangnya, Tun M tidak pernah menghargainya malah mempamerkan keegoaannya apabila mahu menjadi PM bukan di bawah nama PH tetapi mahu menjadi PM kerajaan perpaduan.  Hasrat beliau itu kononnya untuk melenyapkan nama Anwar sebagai calon PM selepasnya seperti yang dijanjikan sebelum PRU14 yang lalu.  Jika hasrat beliau untuk mewujudkan kerajaan perpaduan itu menjadi kenyataan, maka kesemua janji dan manifesto PH akan terbatal dan wujudlah kerajaan baru yang dipimpin olehnya ikut kepalanya sendiri.

Itu perancangan Tun M yang bukan sahaja ditolak oleh PH, malahan ditolak oleh Umno dan Pas.  Sepatutnya di saat kerajaan PH bergelut dengan para pengkhianat ini, Tun M patut bertanggungjawab memperkuatkan PH bukannya membawa idea karut marut yang semakin melemahkan PH. 

Sikap Tun M yang tidak ikhlas di dalam mempertahankan PH dan hanya memikirkan soal dirinya semata-mata telah membantu menjayakan pengkhianatan.  Hasrat beliau untuk menjadi PM yang boleh mencipta nama harum di dalam Persidangan APEC musnah samasekali.  Diberi betis, mahu peha.  Orang tamak selalu rugi.

Apa yang berlaku adalah pengajaran kepada kita.  Hikmah di atas kejadian yang memalukan negara ini di mata dunia harus dilihat secara positif.  Dunia melihat satu-satunya negara di Asia yang membentuk kerajaan tanpa mandat rakyat, negara itu adalah negara Malaysia. Hikmahnya juga, rakyat boleh melihat dan mengenali watak parti Umno dan Pas.  Mereka sanggup bersekongkol dengan para pengkhianat demi untuk kuasa dan kedudukan walaupun mereka sedar bahawa rakyat tidak memilih mereka untuk menjadi kerajaan. 

Usia Tun M masih ada.  Tidak terlambat untuk Tun M mensucikan dirinya dari kekhilafan lampaunya.  Sudah tiba masanya untuk Tun M memperbaiki semula imejnya yang semakin teruk merudum.  Kini, tiba masanya Tun M membalas segala budi baik dan pengorbanan Anwar terhadapnya semenjak Anwar dari penjara lagi.  Anwar menyokongnya sejak dari dalam jeriji besi penjara demi untuk negara dan rakyat bagi menentang rejim kleptokrasi. 

Lupakanlah cita-cita untuk menjadi PM tiga kali bagi mencipta rekod dunia.  Dua kali menjadi PM pun sepatutnya wajib Tun M syukuri.  Beliau menjadi PM sebanyak dua kali, begitu juga anaknya menjadi MB dua kali.  Apa lagi yang Tun M mahukan di penghujung usia beliau sekarang?  Apa ruginya jika beliau sekarang menyokong Anwar sekuatnya seperti yang pernah Anwar lakukan terhadapnya? 

Rakyat mahu melihat Tun M memberikan  sokongan pula kepada Anwar untuk menjadi PM di bawah kerajaan PH bagi menggantikan kerajaan pintu belakang sekarang ini.  Biarlah Anwar menebus kembali mandat rakyat sekaligus menebus semula maruah Tun M.  Tun M mesti lakukan sekarang jika mahu namanya dikenang sebagai tokoh yang hebat dan bermaruah. 

WFAUZDIN NS

No comments: