MUHYIDDIN TAKUT.SAH TIADA MAJORITI



Speaker Parlimen, Mohamad Ariff Md Yusof memaklumkan Sidang Parlimen pada 18 Mei ini hanya untuk istiadat pembukaan dan Titah Diraja oleh Yang Dipertuan Agong saja.
Tiada sama sekali sidang Parlimen selepas Titah Diraja selesai dilangsungkan.
Sebelum ini, selepas Titah Diraja, Parlimen dijadualkan akan bersidang selama sehari yang antara lain untuk pembentangan rang undang-undang dan menyelesaikan usul-usul kerajaan.
Tetapi, minggu lalu Mohamad Ariff turut menerima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin yang akan dibawa oleh Tun Mahathir Mohamad.
Turut diterima ialah usul daripada Liew Vui Keong, Ahli Parlimen Batu Sapi yang memohon Sidang Parlimen selama sehari itu dilanjutkan kepada lapan hari.
Mohamad Ariff memaklumkan perubahan terbaru ini selepas menerima surat daripada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis Dewan Rakyat yang menegaskan Sidang Parlimen 18 Mei ini dipendekkan berikutan ancaman wabak Covid-19 masih lagi belum reda.
Sebenarnya apakah sebab Muhyiddin berbuat demikian, sedangkan baru semalam beliau mendapat jaminan sokongan secara en-bloc daripada Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi?
Adakah beliau tidak percaya dengan sokongan 43 Ahli Parlimen BN sebagaimana diumumkan Zahid Hamidi itu?
Atau benarkah ancaman Covid-19 masih lagi berbahaya?
Jawapan yang tepat tidak lain ialah kerana Muhyiddin masih belum mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen untuk berlawan dengan usul undi tidak percaya yang dibawa oleh Tun Mahathir terhadapnya.
Jika sudah ada sokongan yang cukup, tidak ada sebab beliau perlu membatalkan sessi Parlimen di saat-saat akhir, sebaliknya hanya membenarkan acara pembukaan dan Titah Diraja saja.
Ini bermakna Sidang Parlimen seterusnya ialah pada bulan Julai dan bererti usul tidak percaya terhadapnya juga dapat ditangguhkan selama dua bulan lagi.
Dalam tempoh dua bulan ini, pasti saja macam-macam usaha boleh dilakukan oleh Muhyiddin untuk mencukupkan sokongan kepadanya.
Dalam erti kata lain, Muhyiddin sebetulnya takut kehilangan jawatannya sebagai Perdana Menteri.
Walaupun tidak boleh ke mana-mana, tidak boleh ke saja ke sini dan tiada rumah terbuka akan diadakannya, setidak-tidaknya Muhyiddin mahu juga merasai nikmat menyambut Hari Raya sebagai seorang Perdana Menteri.
Sebaliknya, kalau Sidang Parlimen diteruskan pada 18 Mei nanti dan beliau kalah dalam usul undi percaya itu, Hari Raya tahun ini tentu akan disambutnya dengan muram sebagai seorang yang baru kalah dalam perang. 
(ShahbudinHusin 13/05/2020)


No comments: