DISEBABKAN SOKONGAN AHLI-AHLI PARLIMEN UMNO KEPADA MUHYIDDIN ATAS KAPASITI INDIVIDU, ZAHID HAMIDI TIADA HAK UNTUK ARAH UNDI EN BLOC



Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO yang sedang berdepan 87 kes mahkamah, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan, BN yang mempunyai 43 Ahli Parlimen sentiasa memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.
Katanya, BN adalah kelompok terbesar dalam memberi sokongan kepada Muhyiddin sehingga Presiden Bersatu itu dapat dilantik sebagai Perdana Menteri dan membentuk kabinet kerajaan atas nama Perikatan Nasional atau PN.
Seterusnya, Zahid Hamdii juga mengumumkan, BN akan mengundi secara en-bloc bagi menyokong Muhyiddin dalam usul undi tidak percaya di Parlimen pada 18 Mei depan.
Kenyataan Zahid Hamidi ini dengan sendirinya menunjukkan ada beberapa maksud tersurat dan tersirat daripadanya.
Apabila beliau mengatakan BN yang mempunyai 43 Ahli Parlimen adalah blok terbesar yang memberi sokongan kepada Muhyiddin, ia adalah peringatan tanpa berselindung Zahid Hamidi kepada Perdana Menteri agar jangan main-main dan tidak lupa kepada UMNO dan BN.
Dengan kedudukan sebagai blok terbesar yang disebutnya itu, ia bermaksud bahawa BN bukan saja boleh menyokong Muhyiddin, malah senang juga untuk menjatuhkannya.
Secara tersiratnya ia barangkali adalah ancaman halus kepada Muhyiddin agar selain perlu berlaku adil dalam pengagihan “harta rampasan perang” kepada UMNO, tetapi perlu juga melihat-lihat kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh beberapa pemimpin UMNO, termasuk diri Presiden UMNO sendiri.
Selain itu, sokongan terbuka BN yang diumumkan Zahid Hamidi ini juga menunjukkan kedudukan Muhyiddin masih belum cukup stabil untuk berdepan usul undi tidak percaya daripada Tun Mahathir.
Kiranya kedudukan majoriti buat Muhyiddin sudah cukup selesa, sokongan daripada BN tidaklah perlu dizahirkan secara terbuka, lebih-lebih lagi dengan pengumuman untuk memberi undi secara en-bloc.
Adakah ini bermakna jika undian secara en-bloc tidak diberikan, Muhyiddin tidak mendapat sokongan yang penuh daripada Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan BN untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri?
Tetapi, memberi undi secara en-bloc sebagaimana yang disebut Zahid Hamidi itu sebenarnya adalah bercanggah dengan status sokongan UMNO kepada PN itu sendiri.
Berikutan susunan kabinet oleh Muhyiddin yang tidak memuaskan hati UMNO sebelum ini, Zahid Hamidi pernah menegaskan sokongan Ahli-Ahli Parlimen parti itu kepada PN hanyalah melibatkan kedudukan mereka secara individu, bukan melibatkan UMNO sebagai sebuah parti.
Jika sokongan kepada Muhyiddin dan PN hanya melibatkan kedudukan Ahli-Ahli Parlimen secara individu, bagaimanakah pula undian dalam usul tidak percaya mahu dilakukan secara en-bloc?
Tidakkah ini sesuatu yang bercanggah?
Yang nyata, selagi sokongan Ahli-Ahli Parlimen UMNO kepada Muhyiddin adalah masih atas kapasiti individu dan tidak diubah kepada sokongan dalam bentuk parti daripada UMNO, Zahid Hamidi pada hakikatnya tidak ada hak langsung untuk mengumumkan undian secara en-bloc untuk mengekalkan kedudukan Perdana Menteri.
Yang boleh memberi unri secara en-bloc adalah Pas kerana sokongan meteka kepada Muhyiddin adalah atas kapasiti parti secara rasmi.
Sebagaimana sokongan yang diumumkan sebelum ini adalah atas kapasiti individu, Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan BN seharusnya juga diberi hak secara individu untuk memberi undi mereka dalam usul undi tidak percaya itu nanti.
Lagi pula, tentulah tidak manis jika Ahli Parlimen veteran seperti Tengku Razaleigh Hamzah misalnya, turut dirampas hak untuk mengundi secara individu dengan diarah patuh kepada ketetapan mengundi secara en-bloc itu.
Begitu pun, Ahli Parlimen yang tidak setuju dengan ketetapan mengundi secara en-bloc yang diumumkan Zahid Hamidi itu masih boleh memilih tidak hadir ke Parlimen sebagai tanda protes bahawa hak mereka telah dicabuli.
Apa pun, pengumuman sokongan Zahid Hamidi semalam lebih menyerlahkan kedudukan Muhyiddin masih belum selamat, tetapi disaluti tekanan halus agar beliau tunduk kepada kehendak dan kemahuan UMNO. (ShahbudinHusin 13/05/2020)


No comments: