SAMPAI MASANYA DSAI MENGENEPIKAN SABAR TAHAP DEWA


Setelah Azmin Ali dan penyokongnya memboikot sekitar 80 peratus perjalanan Kongres Nasional Keadilan di Melaka dan kemudian menganjurkan himpunan besar-besaran di Kuala Lumpur petang semalam, Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR kini nampaknya tidak banyak pilihan lagi di tangannya.
Sudah sampai masanya untuk beliau bertindak tegas dan mengenepikan “sabar tahap dewa” yang selama ini ada dalam dirinya.
Juga sudah sampainya untuk beliau membuktikan kata-kata amarannya di Konvensyen Keadilan Perak baru-baru ini iaitu “jangan uji kesabaran saya?”
Malah, sebagaimana janjinya dalam ucapan penggulungan untuk bertindak tegas selepas ini, masa untuk beliau membuktikan kata-kata itu sudah tiba sebenarnya.
Apa lagi ucapan Azmin petang semalam bersama penyokongnya bukan saja menyerang dan mengkritik Anwar, malah memperlekeh dan merendah-rendahkan beliau dan keluarganya sebagai pencetus kebangkitan reformasi di negara ini.
Ternampak jelas dengan tindakannya menganjurkan perhimpunan petang semalam adalah untuk melemah dan menjadikan PKR berpecah.
Dengan kedudukan PKR sebagai parti kerajaan dan Azmin sendiri berjawatan menteri, tindakannya menyerang Presiden partinya sendiri secara terbuka dan Anwar sebagai bakal Perdana Menteri tidak lama lagi, mahu tidak mahu harus diterima bahawa Timbalan Presiden PKR tidak pernah putus ada untuk menggagalkan konsensus peralihan kuasa PH.
Begitu pun, Anwar tidak harus gopoh dan tergesa-gesa dalam tindakannya kerana beliau perlu mengkaji serta meneliti pelbagai sudut terlebih dahulu sebelum bertindak.
Masa bertindak dan bentuk tindakan harus difikir sedalam-dalamnya agar kesan buruk tidak menikam belakangnya pula.
Walaupun rata-rata mood perwakilan ketika berucap dalam kongres di Melaka mahu ke arah pemecatan Azmin kerana beliau sudah dianggap perosak serta pengkhianat parti, tidak lagi hormat kepada Anwar sebagai Presiden dan dengan jelas menolak kedudukan Anwar sebagai bakal PM8, sikap berhati-hati masih perlu diambil sebelum memutuskan bentuk tindakan.
Ini kerana yang dimahukan melalui apa juga tindakan yang bakal diambil terhadap Azmin dan para penyokongnya nanti, ia tidak harus menyebabkan PKR jadi lebih berpecah dan laluannya menggantikan Tun Mahathir Mohamad turut terbantut, tergendala atau terbatal sama sekali.
Bermakna Anwar kini ada dua pertarungan yang mesti dihadapinya – pertama, menyelesaikan onar yang ditimbulkan oleh Azmin secara bijaksana sama ada melalui pemecatan, penggantungan,!perundingan atau apa saja bentuk yang lain dan kedua, memastikan konsensus PH berhubung kedudukannya sebagai PM8 tidak tergugat.
Tewas dalam pertarungan pertama mungkin boleh menyebabkan Anwar tewas juga dalam pertarungan kedua dan tewas dalam pertarungan kedua, pasti akan menyebabkan kecundang sama dalam pertarungan pertama.
Tetapi, menang dalam pertarungan pertama akan menjadikan lebih mudah memenangi pertarungan kedua dan begitu juga jika menang pertarungan di kedua, lagi mudah memenangi pertarungan pertama.
Begitu pun tidak bertindak apa-apa atau membiarkan saja keadaan seperti sekarang berpanjangan tidak akan menghasilkan apa-apa kemajuan dalam dalam kedua-dua pertarungan itu. (ShahbudinHusin 09/12/2019)

No comments: