Speaker Parlimen mesti bertindak tegas terhadap ahli-ahli Parlimen yang bermasaalah


0
23


Photograph: Wikimedia Commons
Aliran teramat bimbang terhadap kurangnya rasa hormat dan kesopanan yang dipaparkan oleh beberapa ahli Parlimen dalam dewan yang mulia.

Menyifatkan ahli-ahli Parlimen ini sebagai penggubal undang-undang adalah satu kesilapan: mereka lebih baik digambarkan sebagai si pembuat masalah.
Ahli Parlimen Barisan Nasional untuk Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman telah mencetuskan kekecohan baru-baru ini di Parlimen dengan bertanyakan ahli Parlimen Pakatan Harapan Jelutong RSN Rayer jika abu suci pada dahinya adalah abu mayat pemimpin komunis Chin Peng.
Tujuan Tajuddin jelas untuk mengusik dan mengejek Rayer. Setelah Rayer dan beberapa ahli parlimen yang lain membuat bantahan, barulah Tajuddin menarik balik kenyataannya.
Perbalahan tersebut tidak berakhir di situ. Ahli Parlimen PH yang lain seperti Ramkarpal Singh dari Bukit Gelugor dan Sivakumar Naidu dari Batu Gajah menggesa speaker untuk mengambil tindakan terhadap Tajuddin. Sementara itu, Ahli Parlimen Barisan termasuk Shaidan Kassim dari Arau membela Tajuddin.
Selepas hampir 10 minit keadaan huru-hara dan kekeliruan timbul di dalam dewan, Tajuddin digantung tugas selama dua hari oleh speaker Parlimen. Tajuddin mengambil sikap endah tak endah hukuman yang diberi dan secara menyindir mengucapkan terima kasih kepada speaker, lalu berkata bahawa dia boleh meluangkan masa yang disediakan untuk menghadiri perhimpunan Umno.
Ahli Parlimen PH dari Kota Melaka juga digantung tugas oleh speaker selama dua hari kerana enggan mematuhi permintaan untuk tidak membangkitkan isu tersebut lagi.
Ini bukan kali pertama Parlimen mengalami kejadian seperti itu dengan ahli Parlimen dari kedua-dua pihak menjerit antara satu sama lain. Dalam situasi ini, tiada siapa yang boleh mendengar pihak lain yang sedang berbahas. Sebaliknya, kita hanya dapat mendengar bunyi bising dan kata-kata kesat dan ejekan seperti “bodoh”, “podah” (pergi berambus) dan “samseng”. Kelakuan tidak sopan ini mempersendakan Parlimen. Perbahasan menjadi satu pertandingan jeritan kuat yang tidak ada bahannya.
Ini bukan cara kelakuan ahli-ahli Parlimen. Bayangkan jikalau kanak-kanak sekolah dan warga asing yang sedang melawat dewan telahpun menyaksikan pertempuran tersebut. Apakah jenis gambaran yang akan ada pada mereka?
Wakil rakyat sepatutnya menjadi contoh teladan yang baik kepada rakyat. Tetapi dengan timbulnya masalah sebegini dalam Parlimen, kenyataan tersebut adalah tidak benar.
Satu sebab mungkin kenapa tingkah laku kurang ajar dan tidak sopan yang ditonjolkan oleh ahli Parlimen tertentu adalah kerana hukuman yang diberi tidak setimpal dengan salah laku mereka.
Kekurangan kawalan yang dipamerkan oleh speaker parlimen dan timbalannya boleh menjadi faktor penyumbang.
Aliran menggesa speaker parlimen dan timbalan beliau untuk bersikap tegas dan memastikan dewan dalam keadaan yang teratur. Jangan bertolak ansur dengan perangai karut dan tidak sopan. Speaker dan timbalannya perlu memahami kuasa yang ada pada mereka dan gunakan kuasa tersebut untuk memupuk sikap disiplin dan peraturan dalam dewan.
Sebagai contoh, jika ahli Parlimen berkelakuan buruk, bolehkah gaji mereka digantung? Apakah hukuman yang sedia ada yang boleh dijatuhkan kepada ahli Parlimen yang berkelakuan buruk? Speaker dan timbalannya tidak perlu ada perasaan takut untuk menama dan memalukan pihak yang mengacau.
Ahli Parlimen yang berjumlah 222 orang telah dipilih untuk mewakili 32 juta orang rakyat yang ada di negara ini. Tugas mereka adalah untuk berbahas dan mencadangkan undang-undang untuk kesejahteraan rakyat. Jika kami mahu badut untuk menghiburkan kami, elok saja kami melawat sarkas.