DAP cabar Omar buat laporan polis, kemuka bukti



DAP membuat satu laporan polis terhadap Ketua UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Datuk Omar Faudzar berhubung dakwaan membawa masuk warga China ke negara ini. 

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, dakwaan pemimpin UMNO itu tidak berasas dan fitnah jahat bagi membangkitkan kemarahan rakyat terhadap DAP. 

“Kenyataan beliau tidak bertanggungjawab apabila menuduh DAP membawa masuk warga China selain memberi kad pengenalan Malaysia bagi membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya umum nanti.

“Kenyataan ini tidak benar kerana DAP tidak pernah pada bila-bila masa melakukan perkara yang dituduh itu. Oleh itu, laporan dibuat bagi membolehkan polis mengambil tindakan tegas ke atas Omar,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, semalam.

Laporan polis berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di George Town, Pulau Pinang.  

Rayer yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Pulau Pinang turut mencabar Omar untuk membuat laporan polis dan mengemukakan bukti jika yakin dakwaannya itu bukan palsu. 

“Sekiranya dia ada bukti, sepatutnya dia buat laporan polis untuk siasatan terhadap tuduhan ini. Jika tidak benar dakwaan tersebut, maka kita berharap dia diambil tindakan tegas kerana tuduhannya itu serius.

“Jika dia tak ada bukti, berhenti mengeluarkan kenyataan tersebut. Kalau ada (bukti), kami cabar (dia) buat laporan polis,” katanya.

Omar dalam perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO mendakwa DAP kononnya membawa pelancong India dan China untuk mengundi dalam pilihan raya umum akan datang. 

DAP junjung Perlembagaan

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata DAP adalah sebuah parti yang berpegang prinsip kepada demokrasi dan menentang sekerasnya perkara yang bertentangan dengan perlembagaan.

“(Tuduhan) Itu jahat sekali hasut rakyat untuk rakyat saling benci membenci, ini palsu saya minta seluruh negara buat laporan polis ke atas orang jahat (Omar).
“DAP tak akan buat jahat, tindakan akan diambil jika ada ahli bertindak demikian. Ini permainan perkauman yang jahat sebagai menghalang DAP berkhidmat mewakili suara rakyat berbilang kaum,” katanya seperti dipetik portal berita berkenaan. –