Dalam gaya penuh dramatik, Ahmad Zahid Hamidi semalam, mengumumkan kembali menerajui UMNO selaku presiden setelah bercuti selama enam bulan.
Adakah beliau akan mengalas semula tugas Ketua Pembangkang Parlimen atau mengakui bahawa Presiden UMNO tidak semestinya perlu menjadi pemimpin UMNO di Parlimen?
Tiga perkara yang perlu diberi perhatian tentang berita kembalinya Zahid daripada bercuti, seperti berikut:
- Pertama, Zahid kembali mengemudi UMNO beberapa hari selepas beliau dikenakan tuduhan rasuah yang baharu, sekaligus menempa nama dalam sejarah perundangan Malaysia apabila dikenakan 87 pertuduhan jenayah berkaitan rasuah;
- Kedua, penentangan pemimpin UMNO terhadap keputusan Zahid untuk menamatkan cutinya, seperti yang ditunjukkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang dilapor berkata bahawa Zahid perlu terlebih dahulu meminta pandangan Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebelum kembali menjalankan tugas presiden; dan
- Ketiga, campur tangan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang menolak suara-suara penentangan dan membuka jalan seluas-luasnya untuk Zahid kembali menjadi Presiden, malah bertegas bahawa Zahid tidak memerlukan keizinan MT UMNO untuk kembali menerajui UMNO kerana segala keputusan tertaluk secara mutlak kepada kehendak Zahid.
Adalah menarik untuk kita singkap semula peristiwa yang menyebabkan Zahid mengambil cuti sebagai Presiden UMNO pada enam bulan lalu.
Zahid merujuk syarat-syarat “hukuman” yang dikenakan terhadap UMNO dan penghinaan yang terpaksa dilaluinya dalam beberapa mesyuarat yang beliau hadiri.
Katanya: “Bukan penolakan secara literal tetapi penolakan untuk penghinaan dan juga suatu tindakan untuk seolah UMNO ini berada di dalam najis mughallazah. Najis ini paling berat sekali, seolah seperti najis binatang-binatang haram,” katanya.
“Ada dua permintaan. Pertama UMNO mesti dibubarkan, ahli-ahli UMNO mesti melompat ke sebuah parti baru.
“Ertinya sejarah UMNO selama tujuh dekad itu mahu dipadamkan dan oleh kerana kononnya semua rakyat benci kepada UMNO. ‘UMNO rasuah, perompak, penyamun’.”
Akibatnya, beliau terpaksa membayar harga yang mahal kerana bertegas UMNO tidak boleh dibubarkan.
Adakah Zahid kini sudah sedar bahawa segala penghinaan yang diterima itu sebenarnya disebabkan oleh kerja-kerja kotor yang dilakukan oleh pemimpin UMNO sendiri, apabila mereka menggagalkan UMNO dan Malaysia serta bersengkongkol dengan bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dalam skandal pengubahan wang haram 1MDB dan skandal rasuah lain membabitkan Tabung Haji, Felda, Felcra dan MARA, yang mana membawa malu dan keaiban kepada Malaysia kerana digelar di seluruh dunia sebagai kleptokrasi global?
Adakah Zahid kini memimpin UMNO untuk menunjukkan bahawa pemimpin UMNO sudah menyesal dan bertaubat di atas tindakan keji, malah khianat yang mereka lakukan terhadap negara!
Atau beliau hanya kembali untuk memastikan UMNO kekal sebagai perkakas “Bossku” dan memainkan peranan sebagai proksi “Bossku”, lebih-lebih lagi setelah “Bossku” kini dapat menghidu yang beliau mungkin semakin hilang kawalan ke atas UMNO
Dalam beberapa jam akan datang, rakyat Malaysia akan mengetahui sama ada Zahid akan kembali menjadi Pemimpin Pembangkang Parlimen dan konfigurasi pembangkang baharu di Parlimen!