Isu Fitnah terhadap YB Khalid @KhalidSamad
Ucapan YB Khalid Samad di Melaka dua minggu lepas
diputar-belit sehingga ramai orang yang tidak tahu cerita sebenar mula
membenci dan menghina beliau dengan kata-kata yang kesat.
Yang lebih kesal kerana dalang yang memutar-belit itu adalah ahli
parti sendiri. Mereka ini kononnya mendokong kepemimpinan ulama' tetapi
perangai mereka tidak sebagaimana yang diajar oleh para ulama'. Mereka
memecah-belahkan perpaduan dalam parti dan membiakkan kebencian ahli
parti kepada pimpinan. Curiga dan prejudis kini berleluasa
sesama-sendiri.
Kerana sikap jahat mereka ini, orang ramai juga mula prejudis dan
mempersalahkan ulama' sedangkan ulama' tidak ada kaitan dengan kerja
jahat mereka. Mereka ini jenis sokong membawa rebah.
2 tuduhan kepada YB Khalid Samad adalah 1) YB Khalid menuduh TGHH
sebagai punca pentembungan antara kumpulan ulama' dan profesional. 2)
Ahli PAS tidak perlu wala' kepada Majlis Syura.
Dalam wacana berkenaan dan mendengar setiap butir
perkataan yang diucapkan oleh YB Khalid. Video penuh juga boleh dilayari
di Youtube. Apa yang disebutkan oleh YB Khalid adalah pertembungan
antara ulama' dan profesional dalam PAS dilihat ketara selepas PRU 12
yang lalu. Ia diburukkan selepas isu Kerajaan Perpaduan atau UG
dibangkitkan secara meluas di media. Itu sahaja.
Tuduhan kedua berkenaan wala' adalah jauh terpesong. Maksud beliau,
kata-kata pimpinan bukan suatu yang qat'ie (yang tidak boleh diubah)
sebagaimana wahyu. Justeru ada ruang untuk bertanya dan jika ada
pandangan yang lebih baik, ia boleh diajukan. YB Khalid membawa kisah
Al-Habab bin al-Munzir yang mencadangkan tempat yang lain dari cadangan
asal Rasulullah dalam Perang Badar kepada Rasulullah.
Al-Hubab bin al-Munzir bertanya sama ada tempat asal itu ditetapkan
oleh Allah(wahyu) atau hanya merupakan buah fikiran baginda. Rasulullah
menjawab bahawa ia berdasarkan buah fikiran baginda dan bukannya wahyu.
Maka al-Hubab bin al-Munzir mencadangkan kepada Baginda agar
berpindah ke tempat lain yang lebih strategik dan membolehkan orang
Islam menyekat air Badar sampai kepada orang musyrik. Oleh itu,
Rasulllah dan para sahabat Baginda berangkat sehingga mereka sampai ke
tempat yang dicadangkan oleh al-Hubab.
Dapat difahami dengan mudah maksud sebenar YB Khalid, melainkan oleh orang yang tidak mahu faham.
Konsep wala' perlu difahami dengan jelas. Ia bukan bermaksud taat
membuta tuli. Tetapi wala' biasa ditakrifkan sebagai meletakkan
kecintaan yang sebenar serta kesetiaan dan penghormatan yang tinggi
kepada pimpinan yang disertakan dengan sokongan dan bantuan sama ada
berbentuk nyata atau tidak.
Konsep wala' tidak bermaksud membodohkan pengikut dan ahli tetapi ia
sebagai pengikat kasih dan ketaatan antara ahli dan pimpinan seterusnya
dalam menggerakkan kerja jemaah dengan lebih lancar. Ia tidak sesekali
menghalang ahli dan pengikut daripada bersuara termasuk untuk menegur
pimpinan.
Justeru,ahli-ahli PAS tidak termakan dengan kerja jahat segelintir ahli yang mahu menjahanamkan parti ini.