KENYATAAN MEDIA YB CHONG ENG



Kenyataan Media: Kritikan Tun Dr Mahathir Terhadap Pendidikan Cina Tidak Berasas dan Berbaur Perkauman



041109 Kuala Lumpur



Barisan Nasional patut menanangi masalah pemisahan kaum daripada factor-faktor pokoknya dan bukan berbalik-balik kepada isu sekolah aliran perdana lawan sekolah vernacular.


Kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad baru-baru ini supaya Negara kita mengikut cara Amerika Syarikat, Kanada dan Australia supaya hanya mempunyai sekolah satu aliran hanya bagaikan mengulangi semula persoalan lama. Tun Dr Mahathir juga menyalahkan golongan pendidik Cina atas kegagalan projek sekolah wawasan beliau.



Ini bukannya kali pertama Tun Dr Mahathir ataupun pemimpin UMNO-Barisan Nasional cuba menyalahkan masalah kaum di Negara ini ke atas pendidikan vernakular. Pada bulan Disember yang lalu, anak Tun Dr Mahathir yang kini seorang Timbalan Menteri, Datuk Mukhriz Mahathir telah menyeru supaya pendidikan vernakular dihapuskan.


Kritikan Tun Dr Mahathir terhadap pendidikan vernakular gagal mengambil kira latar belakang social, sejarah dan budaya di Negara kita. Pendidikan Cina, umpamanya, telah berpusat dan berkembang di Negara ini sejak kurun ke-19 lagi. Daripada menyalahkan pendidikan vernakular dan mengikut jejak langkah Negara-negara lain, Malaysia patut berasa bangga terhadap sistem pendidikan pelbagai aliran kita yang unik.


Tuduhan Tun Dr Mahathir bahawa masyarakat Cina enggan membenarkan anak-anak mereka untuk berintergrasi dengan kaum lain adalah tidak berasas sama sekali dan berbaur perkauman. Majoriti pelajar sekolah-sekolah rendah Cina akan menyambung pelajara di sekolah-sekolah menengah bantuan kerajaan dan terdapat kira-kira 70,000 pelajar bukan kaum Cina di sekolah-sekolah tersebut.



Masyarakat Cina di Malaysia berhak untuk meneruskan sistem pembelajaran yang unik yang sudah kira-kira 200 tahun lamanya di Negara kita.


Memandangkan bahawa negara China kini bakal menjadi kuasa ekonomi utama dunia, UMNO-Barisan Nasional patut merangka strategi untuk menjadikan Negara kita sebagai sebuah pusat pendidikan bahasa Cina yang cemerlang di rantau ini. UMNO-Barisan Nasional tidak boleh berpandangan sempit dan perlu membuka minda serta mengubah pendirian perkauman mereka yang semata-mata bertujuan mendapat markah politik.



Terdapat banyak isu-isu yang perlu diberi perhatian untuk memupuk integrasi nasional. Ini termasuk masalah Rakyat Malaysia diasing-asingkan oleh UMNO-Barisan Nasional kepada kategori bumiputera dan bukan bumiputera. Parti pemerintah mestilah menanangi isu ini sebelum menuding jari dan menghalang masyarakat Cina dari mendapatkan pendidikan pilihan mereka.


Chong Eng


Ahli Parlimen Bukit Mertajam

Timbalan Setiausaha Agung DAP

Pengarah Biro Pendidikan DAP



No comments: