Analisa cubaan perobohan Kg Buah Pala pada 13 Ogos 2009 : Choo Chon Kai*

Awal pagi hari ini di Kampung Buah Pala, Bukit Gelugor, Pulau Pinang, nampaknya segar dan sunyi seperti hari-hari biasa tetapi diselubungi oleh suasana yang tidak luar biasa. Pada malam sebelum ini telah terdapat khabar angin pihak pemaju akan masuk ke kampung untuk merobohkan rumah-rumah, sedangkan belum adanya satu penyelesaian yang baik dan dipersetujui oleh para penduduk.

Polis telah mula bergerak masuk ke kawasan kampung lebih kurang 8 pagi. Dengan menyedari kehadiran polis yang semakin ramai menandakan sesuatu akan berlaku pada pagi yang mendung ini, penduduk-penduduk kampung juga mula berkumpul untuk “menyambut” kedatangan pihak pemaju. Aktivis yang paling awal sampai adalah daripada PSM dan JERIT, bersama-sama dengan lebih kurang 50 orang penduduk dan penyokong.

Keadaan kampung menjadi tegang apabila ada orang menjumpai samseng-samseng yang berpakaian orang upahan pihak pemaju (di bawah nama kontraktor SRE Ventures, yang diupah oleh pemaju Nusmetro Ventures) berkumpul di sebuah stesen minyak berhampiran dengan kampong. Lebih dahsyat lagi apabila ada orang mendakwa ternampak samseng-samseng tersebut menyimpan parang dalam kereta. Para penduduk telah mendesak pihak polis untuk menyuraikan samseng-samseng tersebut. Ada beberapa orang penduduk bergegas keluar untuk menghalau samseng tersebut. Samseng-samseng tersebut pun bergerak dari stesen minyak dan berkumpul balik di satu lagi jalan masuk ke kampong.

Bersama dengan 2 buah jentolak, lebih kurang 70 orang samseng berpakaian lengkap tukul besi besar, kayu, dan rod besi berarak masuk (ada permit untuk berarak kot?) ke kawasan kampong. Para penduduk telah membentuk benteng manusia untuk menghalang perarakan samseng tersebut di jambatan kecil yang menuju masuk ke kampong. Polis mula masuk dan Light Strike Force membentuk barisan perisai memisahkan penduduk dengan samseng upahan pihak pemaju (untuk memberi perlindungan kepada samseng kot?). Separuh daripada benteng manusia adalah wanita. Penduduk-penduduk telah menjerit “samseng keluar”, “jangan roboh rumah”.

Apabila para samseng upahan mula bergerak ke hadapan, barisan polis cuba “buka jalan” dengan menolak para penduduk yang membentuk benteng manusia. Tolak-menolak yang hebat telah berlaku dan ada polis yang cuba memukul penduduk dengan baton kayu. Tetapi cubaan polis untuk menolak dan memecahkan rantai manusia tidak berjaya. Ada beberapa wanita telah mengalami kecederaan dan ada seorang pengsan. Para penduduk mengangkut wanita yang pengsan tersebut dengan sebuah meja, menembusi barisan polis dan kumpulan samseng untuk dihantar ke hospital.

Selepas samseng upahan gagal masuk dengan bantuan polis, bailiff pula sudah sampai. Pada lebih kutang 11 pagi, polis dan beberapa orang pihak pemaju cuba mencuri masuk daripada satu lagi jalan masuk tetapi dihalang oleh penduduk juga. Wakil pemaju Gary Ho daripada Nusmetro yang sampai di kawasan kampong dengan escort polis telah “disambut” oleh teriakan hebat.

Bailiff telah menandakan 3 rumah untuk dirobohkan dan memberi 30 minit untuk penghuni rumah untuk mengosongkan rumah. Pada waktu yang sama, ramai orang tempatan yang datang dari merata tempat di Pulau Pinang sampai di kampong untuk memberi sokongan kepada penduduk kampong.

Bailiff dan wakil pemaju duduk di perkarangan salah sebuah rumah yang akan dirobohkan dan membincangkan apa yang patut dilakukan selepas itu. Polis pula mengepung rumah tersebut dan menghalang orang lain masuk ke rumah tersebut. 2 orang aktivis PSM, Kris Khaira dan Nagen bersama dengan 3 orang lagi berjaya menyeludup masuk ke dalam rumah untuk mempertahankan rumah tersebut dengan beberapa orang penghuni di situ.

Apabila tengahari menjelang, hujan yang tidak menentu tidak dapat memadamkan semangat penduduk kampong untuk mempertahankan rumah halaman mereka. Keadaan menjadi lebih panas semula apabila enjin jentolak dihidupkan semula dan polis membuat formasi untuk menembus benteng manusia yang dibentuk oleh para penduduk dan penyokong. Kali ini, tolak-menolak yang lebih hebat berlaku dan berlanjutan untuk masa yang lebih panjang. Namun, kali ini, benteng manusia yang mempertahankan Kampung Buah Pala berjaya mengundurkan polis untuk 10 m sehingga sampai di mesin jentolak (sebelum ini mesin jentolak dipisahkan oleh polis daripada benteng manusia sejauh 10m). Cubaaan merampas kunci berlaku apabila ada orang memanjat ke atas jentolak. Polis pada waktu itu terpaksa mengalah dan merayu kepada para penduduk supaya memberi peluang kepada mereka untuk membentuk balik barisan mereka yang sudah berkecai berai.

Petang semakin lewat dan nampaknya benteng manusia masih belum dapat dipecahkan, sebaliknya barisan polis tidak dapat kembali ke garisan asal mereka. Selepas pertembungan 5 jam, polis telah memanggil pihak bailiff, wakil pemaju dan wakil penduduk untuk membuat perbincangan. Selepas perbincangan, semua pihak telah bersetuju untuk menundakan pengusiran sehingga 1 September.

*Kemenangan kecil kuasa rakyat, penyelesaian yang memuaskan perlu disegerakan*

Episod perjuangan penduduk-penduduk Kampung Buah Pala hari ini, telah menampakkan kuasa rakyat yang bersatu tanpa mengira kaum, berjaya memaksa pihak pemaju dan polis berundur untuk seketika.

Kampung Buah Pala, sebuah kampong di mana tanahnya telah dirampas dan sepatutnya tidak wujud lagi pada 3 Ogos, akan berdiri megah untuk sekurang-kurangnya 2 minggu lagi. Sekarang para penduduk Kampung Buah Pala mempunyai 2 minggu untuk mencari penyelesaian kepada masalah tanah mereka dan ini sememangnya memerlukan rundingan kembali dengan pihak kerajaan negeri. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membazirkan banyak masa dalam isu Kampung Buah Pala, dengan tidak bertindak secara proaktif sejak awal-awal lagi, malah mengenakan pelbagai sekatan apabila berunding dengan para penduduk.

Penduduk-penduduk Kampung Buah Pala telah dimangsakan oleh Kerajaan Barisan Nasional apabila tanah tersebut telah dirampas dan dijual kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dengan harga istimewa. Namun, apabila Pakatan Rakyat mengambil alih selepas pilihanraya 8 Mac 2008, Kerajaan Negeri Pulau Pinang gagal untuk menghentikan proses pindah hakmilik tanah dan membiarkan masalah tersebut berlanjutan untuk lebih satu tahun sehingga para penduduk diancam pengusiran paksa.

Adanya ahli politik dalam kerajaan yang cuba memberi gambaran bahawa penduduk-penduduk Kampung Buah Pala tamak kerana meminta pampasan yang terlampau tinggi. Tetapi hakikatnya, para penduduk Kampung Buah Pala yang menduduki tanah amanah perumahan yang diamanahkan kepada penduduk di situ, dirampas tanah mereka sewenang-wenangnya oleh birokrat kerajaan. Apabila tawaran pampasan ex-gratia rumah teres dikemukakan, penduduk diberi masa yang amat singkat untuk mempertimbangkannya, dan tiadanya apa-apa jaminan bahawa rumah gantian tersebut akan dapat disiapkan, menjadikan apa yang kononnya tawaran pampasan itu sebenarnya hanya memaksa penduduk-penduduk berpindah keluar pada 7 Ogos 2009.

Dalam isu Kampung Buah Pala juga, ramai politikus yang cuba mengambil kesempatan dan memanipulasikan isu ini untuk mencari publisiti dengan mengadakan sidang akhbar demi sidang akhbar di Kampung Buah Pala, yang menyatakan mereka akan mempertahankan kampong tersebut. Tetapi, apa yang jelas, kata-kata manis golongan oportunis ini tidak bertahan lama. 13 Ogos 2009, jelas menampakkan hanya penduduk-penduduk yang berani bersama aktivis yang benar-benar berjuang bersama rakyat tanpa mengharapkan apa-apa nama atau balasan itu, yang dapat berdepan dengan polis dan pemaju, sehingga mematahkan cubaan pengusiran paksa!

Sekarang, penduduk-penduduk Kampung Buah Pala perlu sedar, hanya kekuatan mereka sendiri yang dapat selamatkan kampong halaman mereka dan mencari penyelesaian yang terbaik untuk masalah mereka. Hanyalah perjuangan rakyat dari bawah yang jati dapat mempertahankan hak rakyat untuk rumah selesa!

-- visit our website athttp://parti-sosialis.org/