PEMERHATI SIFATKAN KES BOLEH DI PERTIKAI




Pemerhati kes contengan protes ‘anti-Rosmah’ di Universiti Malaya menyifatkan situasi kes dan tingkahlaku polis boleh dipertikai dari pelbagai sudut.



“Kalau dilihat kepada kronologi kes, ada beberapa legal action (tindakan undang-undang) yang meragukan disamping tingkahlaku polis yang boleh dipertikaikan. In termasuk beberapa tuduhan yang disabitkan,”ujar seorang pemerhati dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang dihubungi




Beliau melihat beberapa tingkah laku undang-undang yang tidak sah antaranya ialah pensabitan kesalahan kepada Orang Kena Tuduh (OKT), Mohd Izzudidn Hilmi dan Mohd Syahruldin Rosli.
OKT dipercayai ditahan buat kali pertama bermula 24 hingga pagi 30 Jun atas tuduhan tidak mempamerkan plat motosikal mengikut Seksyen 14(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut Sesyen 14(4) akta sama yang memperuntukan hukuman denda maksimum RM3,000.



Majistret Hafizza Sauni membenarkan kedua-duanya dibebaskan dengan ikat jamin masing-masing RM500 dengan seorang penjamin.
Walaubagaimanapun, OKT dipercayai dibawa daripada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ke Putrajaya pada pukul 2.30 petang bagi tujuan yang tidak dapat dikenal pasti.



OKT bersama beberapa polis hadir kembali ke mahkamah pada jam 4.30 petang dengan penambahan 3 lagi pertuduhan menjadikan jumlah pertuduhan sebanyak 4 pertuduhan.
3 lagi pertuduhan tersebut ialah Seksyen 447 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan pencerobohan jenayah di dewan tersebut pada waktu dan masa yang sama.



Pertuduhan ketiga melakukan khianat dengan menggunakan api di bawah Seksyen 436 dan 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.



Pertuduhan seterusnya ialah menyimbah petrol di atas karpet dan menconteng dinding dewan utama fakulti itu.



Bagi pertuduhan itu, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.



“Berlaku tindakan yang tidak sah oleh polis apabila telah menahan OKT lebih dari kurang seminggu hanya untuk kesalahan tidak mempamerkan plat motosikal, dan secara tiba-tiba penambahan 3 lagi pertuduhan yang sangat berat setelah pulang dari Putrajaya,”tambah beliau lagi.



Kesalahan pertama juga dipercayai tidak boleh dibawa kepada kes polis kecuali atas arahan pentadbiran dan nasihat mahkamah universiti.



Walaubagaimanapun, maklumat dalaman pejabat pentadbiran universiti memberitahu kes tersebut terus dibawa kepada polis tanpa pengetahuan pentadbiran universiti.



Beliau juga tidak menolak dakwaan pengendalian kes tersebut arahan terus dari Putrajaya.
Maklumat dalaman polis juga memaklumkan kes tersebut dikendalikan terus oleh Unit Tindakan Khas cawangan Bukit Aman.



Ibu bapa tertuduh juga dipercayai tidak dapat berjumpa anak mereka walaupun telah membuat temu janji dan rayuan kepada pegawai bertugas.



“Cik dah menangis-nangis tapi polis tak juga bagi mak cik jumpa Mie (Izzuddin Hilmi), Cuma semalam dapat jumpa, itu pun 5 minit,”ujar ibu Izzuddin Hilmi.



Mereka juga dipercayai tidak dilayan dengan baik dan dinasihatkan untuk tidak mencari peguam dan mendapatkan nasihat undang-undang atas alasan tertuduh telah mengaku bersalah sebelum dihadapkan ke mahkamah semalam.



Namun atas nasihat dan bantuan beberapa wakil dari Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), peguam Noorazmir b. Zakaria dari firma Che Mokhtar Ling diminta untuk mengendalikan kes.



Dalam pada itu, lapor Malaysiakini, kumpulan mahasiswa bersedia melancarkan bantahan besar jika Universiti Malaya mengambil tindakan tatatertib terhadap dua pelajarnya yang diseret ke mahkamah semalam.



Sehubungan itu, Persatuan Mahasiswa Islam UM juga berharap pentadbiran kampus tidak mengambil tindakan pecat seperti yang pernah dialami oleh tujuh mahasiswa IPTA yang dituduh terbabit dalam satu perhimpunan haram pada 2001.



“Di pihak universiti pula, penulis ingin memberi peringatan supaya jangan sesekali mengambil tindakan dengan menghukum mereka sebelum mereka dibuktikan bersalah,” kata presidennya Shazni Munir Mohd Ithnin di blognya semalam.



“Jika seandainya hal yang pernah berlaku pada mangsa-mangsa ISA 7 berulang, penulis dan seluruh mahasiswa yang di dadanya kejap dengan perjuangan kemahasiswaan, tidak akan teragak-agak untuk membuat bantahan di segenap sudut,” ujar beliau lagi.



Shazni Munir, kini sedang dicari polis bagi membantu siasatan berhubung kes menconteng dan cubaan membakar dewan Akademi Pengajian Islam, juga berharap proses mahkamah berjalan dengan adil.



Selain anggota keluarga, proses ikat jamin Izzuddin dan Syahruldin pada jam 11.45 pagi tadi ditemani rakan-rakan dari kampus kira-kira 80 orang.



Mereka yang mengaku tidak bersalah diikat jamin sebanyak RM5500 setiap seorang dan perbicaraan semula kes ialah pada 13 Julai ini.



Sumber dari keluarganya menyebut perjumpaan bersama penasihat undang-undang universiti tersebut akan diatur kira-kira jam 3.00 petang ini bagi membincangkan status pengajiannya.
Jawatankuasa undang-undang universiti juga berpihak kepada tertuduh apabila dimaklumkan tidak bersetuju dengan prosedur kes ini dibawa polis tanpa mendapat persetujuan pentadbiran universiti.



Terdahulu, kejadian kes contengan protes ‘anti-Rosmah’ dengan tulisan ‘Altantuya, Puaka, Pembunuh’ telah mengheret 2 siswa Universiti Malaya semasa wanita pertama Malaysia tersebut menghadiri perasmian satu majlis di universiti tersebut.-mahasiswakini






No comments: