Penyokong PAS berkumpul di rumah Mohamad Sabu |
Mohd Sabri Said |
TASEK GELUGOR, 9 Dis (Hrkh) - Ratusan pemuda, veteran dan penyokong PAS berkumpul di perkarangan rumah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, dekat sini, sejak pukul enam petang tadi setelah berita penahanannya oleh pihak polis tersebar luas melalui sistem pesanan ringkas (SMS). |
Wakil Harakahdaily yang dihubungi Bendahari Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang, Ustaz Khalid Man bergegas ke lokasi di Guar Petai, Tasek Gelugor dan mendapati sudah ramai para pemuda berbaju merah, yang merupakan anggota Unit Amal berkumpul di situ, dan ada di antaranya yang berpakaian kuning, merujuk kempen BERSIH (Gabungan Menuntut Pilihan Raya Adil dan Bersih).
Menurut Ustaz Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Tasek Gelugor, rombongan Mohamad Sabu masih dalam perjalanan pulang dari Ipoh dengan diiringi beberapa kenderaan pengiring termasuk pihak polis.
Setakat berita ini ditulis semua petugas baru selesai menunaikan solat Magrib berjemaah di beberapa buah rumah penduduk sekitar.
Sebelum semua menunaikan solat berjemaah, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Yusni Mat Piah memberikan sedikit penerangan termasuk lokasi terbaru rombongan Mohamad Sabu berada.
Mohamad Sabu ditahan dekat Sunway City, Tambun, Perak ketika dalam perjalanan bersama rombongannya dalam urusan perkahwinan anak perempuan beliau. Ramai anggota keluarga Mohamad Sabu berada bersamanya.
Penangkapannya dipercayai ada kaitan dengan demonstrasi anjuran Bersih pada 10 November lalu dan juga cadangan mengadakan perhimpunan aman di hadapan bangunan Parlimen, 11 Disember ini.
Ketua Penerangan KeADILan yang juga merupakan antara penggerak himpunan Bersih itu turut ditahan di bawah Akta Polis, Seksyen 27(5)(a), di Johor Bahru, jam 5.15 petang tadi. Hampir 100,000 hadir dalam perarakan penuh bersejarah bagi mendesak pihak kerajaan melakukan perubahan ke atas sistem pilihan raya yang kini berjalan secara tempang dan memihak parti pemerintah.
Ramai percaya kerajaan BN pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam keadaan tertekan dan dijangka banyak lagi tindakan drastik mungkin diambil termasuk melakukan penahanan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).