(Artikel Terbitan Semula)
Beberapa minggu sebelum Dato’ Seri Anwar Ibrahim dibebaskan, Freeanwar.com, iaitu nama domain yang digunakan dalam kempen pembebasan DSAI telah tidak bermaya. Perlahan-lahan FAC.net mula tidak lagi muncul di kaca Internet. Munculnya makhluk yang menamakan Mahakuda menjadi tandatanya. Beliau telah mengeluarkan berita mulai 18.8.2004, melalui Laman Marhaen (Hakim Harap Penyokong Anwar Tak Ramai Hadir). Seperti biasa para reformis yang mengekses internet seolah-olah hilang kepercayaan terhadap berita rambang tersebut. Pada mulanya insan ini tidak diberikan perhatian. Namun sebagai pengakses Internet, saya memaklumkan kepada webmaster bahawa berita dari Mahakuda boleh dipercayai kerana beliau pernah menghantar maklumat yang tepat ke Laman Mahazalimtwo. Pada 20 Ogos pula, satu lagi berita berhubung dengan penangguhan yang akan dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara telah muncul dan menjadi kenyataan (Percubaan Paksa Hakim Ubah Keputusan).
Saya telah menyatakan bahawa manusia ini sebenarnya seseorang yang begitu dekat dengan maklumat atau sumber mahkamah. Ianya telah menjadi tajuk perbincangan termasuk mula menafikan sebuah berita dari seorang penulis. Mahakuda pernah memberikan satu mesej yang tepat beberapa tahun lepas dalam laman Mahazalimtwo. Tak perlu saya jelaskan maklumat itu kerana ianya telah menjadi sejarah.
Kes pembebasan DSAI bermula apabila satu ayat pendek yang dihantar ke Laman Marhaen berhubung dengan keputusan 2-1 yang akan di putuskan pada 28 Ogos lalu. Namun ayat itu kemudiannya telah ditukarkan dengan satu maklumat baru bahawa kes akan ditangguh. Memang betul kes itu tertangguh sehinggalah, kemudian muncul pula artikel dari Raja Petra (sifu FAC) yang turut memuatkan berita mengenai pembebasan DSAI yang akan menjadi 2-1 sebagaimana maklumat awal oleh insan yang menamakan MAHAKUDA. Muncul pula berita MGG Pillai dengan sumbernya yang selalunya mengancam. Akhirnya DSAI dibebaskan pada 2 September yang lalu.
Kes ini dikejutkan lagi apabila 2 September memberikan satu nostalgia lalu. 2 September 1998 rakyat termasuk saya yang baru celik politik telah turun ke Kuala Lumpur sehinggalah kepada gerakan KESAS dan Jamuan Hari Raya di tahun berikutnya yang disambut di Selangor. Memang semasa itu para Reformis hanya bergantung sumber dari ceramah-ceramah Ezam, Azmin, Saifuddin dan gerakan reformasi pada ketika itu begitu hangat sekali dan dianggap sebagai pemberi mesej dan maklumat penting. Mobilasi semasa ialah melalui Internet sebelum diiklankan di layar akhbar alternatif seperti Harakahdaily dan Buletin keadilan, yang kini diambil alih oleh Raja Petra.
Keadaan menjadi bertambah lesu selepas pilihan raya 2004 yang mana Barisan Nasional menipu secara besar-besaran dalam pilihan raya itu dengan berbagai sumber termasuk persekongkolan besar-besaran SPR.
Khairy Jamaluddin memang lah seorang yang disayangi oleh Pak Lah. Khabarnya rundingan dengan beliau juga turut berlaku sebagaimana yang di lakukan oleh Husam Musa dalam petisyen di Kelantan. Namun kedatangan Khairy untuk menguruskan pasport DSAI adalah sesuatu yang luar biasa. Sebagai menantu malahan orang nombor dua dalam hierarki pemuda UMNO, kedatangan beliau menjadi satu tandatanya. Dia tidak perlu datang ikut pintu belakang. Malahan Ezam sendiri menjemputnya tanpa pengetahuan reformis di rumah DSAI. Adalah lebih mudah untuk menelefon dari pejabat Perdana Menteri.
Apabila ditanya kepada Abdullah, beliau memberitahu kedatangan Khairy adalah untuk menguruskan soal pasport,namun apabila ditanya soalan kepada DSAI, beliau memberitahu bahawa Abdullah menyampaikan salamnya.
Kini apa yang menjadi tandatanya, apakah DSAI akan kembali menyertai UMNO??? Akhbar berbahasa Cina empat hari lepas melaporkan keadaan yang amat tidak menyenangkan buat para Reformis jalanan dan marhaen apabila melaporkan DSAI akan kembali menyertai UMNO apabila bertemu pembangkang sekembalinya dari rawatan dan mengerjakan umrah. Apakah ini benar?? Hanya masa sahaja yang menentukan. Namun bukan masanya untuk DSAI menyertai semula UMNO.
Bagi penduduk Permatang Pauh kepulangannya dinanti-nantikan dan ucap utama beliau akan didengar dan di pancarkan ke seluruh dunia di manakah kedudukan politik beliau nanti. Apa yang pastinya, mimbar Masjid Jamek Kubang Semang akan menanti kedatangan beliau memberikan ceramah dan khutbah.
Rakyat Permatang Pauh telah lama menanggung dan membela beliau sejak terpenjara. Jalan kemenangan UMNO tidak lagi kelihatan walau berbagai cara dan kerenah birokrasi dikenakan kepada kakitangan kerajaan. Bukan mudah juga berada dalam pembangkang di Permatang Pauh. Malahan kejadian yang sama juga berlaku di seluruh negara. Bagi yang telah mengetahui sejarah Permatang Pauh, rakyatnya memang cerdik dalam berpolitik.
Buat para juak-juak yang dahulunya meninggalkan perjuangan ini, khasnya rakan taulan dalam UMNO, teman-temannya, mari kita bermuka-muka semula. Mesyuarat yang dahulunya lengang, kini telah penuh, malahan jika dahulu untuk memanggil ke mesyuarat, jangankan H/P tidak diangkat, malahan nak membalas kembali pun tidak mahu. Maklumlah sibuk dengan kerja dan bergaji besar pulak. Bukan mudah untuk menjadi seorang pejuang.
Itulah antara sedikit kerenah para reformis. Yang di luar keadilan berlainan juga. Waktu DSAI meringkuk dalam penjara, jangankan nak tanya khabar, nak sembang fasal DSAI pun tak boleh. Takut, takut projek tak dapat. Takut kena tangkap,takut bermacam-macam takut. Pendek kata, renungkanlah sikap pura-pura kita agar jangan sampai pecah tembelang dan temberang. Apa pun perjuangan mesti diteruskan. Dan yang paling perlu disedari juga perjuangan perlu kepada keberanian selain bijaksana dalam berpolitik. SALAM REFORMASI
Kiriman: Wartawan Rasmi Laman Reformasi - 12.09.2004