Sunday, July 27, 2014

Pakatan tidak akan ke Putrajaya selagi Hadi presiden PAS


Tindakan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong secara terbuka Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai menteri besar Selangor membuktikan beliau tidak peduli dan tidak kisah dengan keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

Mesyuarat Majlis Pimpinan PR yang membuat keputusan bersetuju agar Khalid digantikan PKR dihadiri pemimpin kanan parti Islam itu seperti timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, setiausaha agung Datuk Mustafa Ali, naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Husam Musa, ketua Pemuda Suhaizan Kaiyat, serta ahli jawatankuasa (AJK) Pusat Dr Hatta Ramli.

Dalam satu kenyataan yang dikirimkan kepada media pada 23 Julai lalu, Majlis Pimpinan PR menyatakan mereka sudah sebulat suara bersetuju, “menerima cadangan daripada PKR untuk membuat pertukaran menteri besar di Selangor seterusnya mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.”

Isyarat yang diberikan presiden PAS itu kepada umum adalah beliau tidak peduli dengan keputusan PR dan timbalan presiden, naib presiden, setiausaha agung, ketua pemuda dan AJK parti itu tidak layak mewakili pandangan partinya.
  "Saya sudah dengar semua hujah, kumpulkan sebelum akhirnya saya dapati majoriti kalangan akar umbi PAS bersetuju Khalid dikekalkan atas konsep amanah yang ditunaikannya," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas kuliah Jumaat di rumahnya di Rusila di Terengganu, pada Jumaat.

Kenyataan Hadi juga merupakan satu tamparan hebat kepada ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana PR sudah bersetuju kerusi menteri besar Selangor merupakan milik PKR.

Apabila PR bersetuju kerusi menteri Selangor itu milik PKR, PAS tidak seharusnya campurtangan siapa pun calon yang bakal diletakkan di negeri terkaya itu.

Bayangkanlah jika PKR dan DAP campurtangan dalam pemilihan kerusi menteri besar di Kelantan atau di Kedah dahulu, bagaimana perasaan PAS?

Sebagai respon balas setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail membandingkan isu Selangor dengan pergolakan jawatan menteri besar Kedah dipegang Tan Sri Azizan Abdul Razak sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri itu ‎di tangan Barisan Nasional (BN) selepas sepenggal diperintah PR.

"PKR mengambil pendirian menghormati sepenuhnya prinsip pencalonan jawatan menteri besar Kedah adalah daripada PAS walaupun ada pelbagai permintaan dari parti Pakatan Rakyat yang lain supaya PKR menyatakan pendirian sama ada menteri besar ditukar atau tidak," katanya.

Sebelum PRU13 lalu, kerajaan negeri Kedah bergolak apabila timbulnya pergaduhan di antara kem Azizan dan orang nombor dua PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi.

Pergeseran yang terjadi itu menyusul beberapa bulan selepas pelan damai PAS Pusat terhadap PAS Kedah ekoran Phahrolrazi dan rakannya Dr Ismail Salleh menolak perlantikan semula sebagai exco kerajaan negeri.

Kedua-dua mereka membantah corak kepimpinan Azizan sebagai menteri besar Kedah.

Akan tetapi Hadi tidak mempedulikan bantahan akar umbi dan terus mempertahankan Azizan sebagai calon menteri besar Kedah sehingga menyebabkan Kedah jatuh ke tangan BN pada PRU13 sepertimana Terengganu pada 2004.

PAS akan bermesyuarat pada 10 Ogos ini mengenai isu pertukaran menteri besar di Selangor dan sudah pasti keputusan majoriti akan memihak kepada Hadi kerana konsep “wala” atau taat yang diamalkan parti Islam itu.

Ini bukan kali pertama Hadi “mensabotaj” PR.

Sebelum PRU13 lalu pada ketika PR bersetuju Anwar sebagai calon perdana menteri, sekumpulan pemimpin PAS yang rapat dengan Hadi bertemu dengan pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah untuk menawarkan jawatan itu kepadanya.

Ini dilakukan pada ketika Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong penuh Anwar sebagai calon perdana menteri PR.

Hadi juga secara peribadinya memberi kebenaran kepada Ridzuan Ismail untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara pada PRU13 lalu walaupun PR sudah bersetuju kerusi tersebut dipertahankan presiden PSM Dr Nasir Hashim yang bertanding di atas tiket PKR kerana partinya bukan anggota PR.

Kedua-duanya Nasir dan Ridzuan akhirnya tewas kepada BN.

Jika Hadi terus menerajui PAS, Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak perlu risau lagi.
Datuk Seri Najib Razak akan terus kekal sebagai perdana menteri dan BN akan terus berkuasa selagi Hadi menjadi presiden PAS. Cita PR untuk menawan Putrajaya hanya menjadi angan-angan.
Jika diimbau kembali sejarah, Hadi juga merupakan punca mengapa Barisan Alternatif (BA) yang ditubuhkan pada 1999 berpecah. – 27 Julai, 2014.



* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.


Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers