Sunday, July 27, 2014

Anwar Kenakan Syarat Kepada Khalid Untuk Kekal MB Selangor – mStar

Anwar Kenakan Syarat Kepada Khalid Untuk Kekal MB Selangor – mStar

anwar dan khalid ibrahim

Isu Menteri Besar Selangor: Rundingan sulit diantara pegawai-pegawai mewakili Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang dijalankan untuk menentukan masa depan kepimpinan negeri itu. mStar

Setiausaha Politik Khalid, Azman Abidin yang bertindak sebagai perantara, memberitahu The Star Online bahawa Khalid tidak perlu melepaskan kedudukannya jika dia memenuhi syarat-syarat tertentu yang ditetapkan pucuk pimpinan PKR.

“Kami masih dalam proses rundingan. Terdapat beberapa syarat yang Anwar mahu Khalid penuhi. Jika beliau bersetuju, Khalid mungkin kekal sehingga penggalnya tamat,” katanya ketika dihubungi.

Namun, Azman enggan mendedahkan secara terperinci syarat-syarat tersebut kerana ia ‘sulit dan persendirian’ tetapi menegaskan ia tiada kaitan dengan projek di negeri itu.
Beliau juga mengakui terdapat beberapa syarat yang sukar dipenuhi oleh Khalid.

“Ia rundingan yang sukar tetapi ia bergantung kepada Khalid untuk bersetuju atau tidak,” katanya.

KLIK BACA APA TULISAN RAFIZI RAMLI MENGENAI KHALID 
Difahamkan, antara syarat-syarat itu termasuk penyingkiran bekas setiausaha politik Khalid, Faekah Husin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI).

Azman berkata, sekiranya rundingan itu tidak berjaya, Khalid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang tiada  pilihan melainkan berundur dan memberi laluan kepada peralihan kuasa.

Terdahulu, Anwar mengumumkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menerima cadangan PKR untuk menggantikan Khalid dengan calon pilihan mereka iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Adun Kajang.

Bagaimanapun, menurut Azman, keputusan belum muktamad walaupun hampir pasti akan berlaku perubahan pucuk pimpinan di negeri itu.

“Khalid mempunyai tempoh sehingga 10 atau 11 Ogos untuk membuat keputusan kerana ia adalah tarikh akhir DAP dan PAS mengumumkan pendirian mereka,” katanya.

Azman juga berkata, beliau yakin Khalid tidak akan menasihati Istana untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun beliau sebagai Menteri Besar mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

“Beliau tidak akan melakukan perkara seperti itu, beliau enggan menamatkan karier politiknya dengan memusnahkan parti. Beliau mahu penyelesaian secara baik terhadap krisis ini,” katanya.

Khalid kini terus menerima tekanan dari dalam parti yang mahu beliau melepaskan jawatannya sebagai menteri besar.

DAP dan PAS pada dasarkanya bersetuju supaya Khalid memberi laluan kepada Dr Wan Azizah untuk mengambil alih jawatannya.


Namun, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan Khalid dan mahu beliau mengekalkan jawatannya. mStar

 
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers