Hentikan Kezaliman Terhadap Bersih, kata PKR

KLANG 29 JUN : Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menuntut agar kerajaan menghentikan tekanan terhadap penganjur dan penyokong perhimpunan Bersih yang bakal berlangsung 9 Julai nanti.
Sejak minggu ini, polis menahan puluhan ahli parti pembangkang dan juga menyoal pemimpin mereka di bawah Akta Hasutan kerana menyokong Bersih.
Media arus perdana pula dikerah untuk memaparkan Bersih sebagai gerakan untuk menghidupkan komunisme dan diperalatkan oleh anasir-anasir asing.
Ketua Penerangan PKR, Dr. Muhammad Nur Manuty, Bersih hanya sebuah perhimpunan untuk menzahirkan keperluan diadakan pilihanraya yang adil dan telus,
"Anehnya, pilihanraya yang bersih akan menguntungkan kesemua pihak – pemerintah dan yang diperintah, mengapa pula UMNO terlalu takut dengan pilihanraya yang bersih?" katanya.

Beliau menegaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah berulang kali mengakui akan kelemahan dalam sistem pilihan raya di negara ini termasuk tidak berupaya memperbaikinya berasaskan peruntukan undang-undang yang sedia ada.

"Lojiknya, selepas sekian lama mentadbir negara dan sistem pilihanraya pula memang dijalankan secara telus dan adil, BN dan UMNO seharusnya menerima pandangan dan suara rakyat ini secara jantan dan berjiwa besar," kata beliau.

Manuty menambah, seruan Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Hasmy Agam baru-baru ini turut menyeru pihak berkuasa membenarkan program perhimpunan aman itu diteruskan seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan.

Beliau kemudian berpendapat, sekiranya kerajaan menilai tuntutan Bersih sambil menolak tepi perasaan paranoianya maka negara dapat mewujudkan sistem pemilihan lebih utuh, dipandang tinggi oleh rakyat dan dihormati masyarakat antarabangsa.

"Ini akan mewujudkan budaya masyarakat madani (civilized society) ke arah negara yang lebih maju, adil dan makmur.

Sehubungan dengan itu, PKR sekali lagi menyatakan pendirian untuk tidak berganjak menyalurkan sokongan kepada perhimpunan Bersih 2.0 bagi menuntut pilihan raya yang bebas dan adil.

No comments: