Pemimpin Melayu DAP, Sheikh Omar Ali tampil membalas kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Ahmad Yahaya yang mendakwa Malaysia boleh mencapai keamanan sebenar tanpa DAP.
Menurut Sheikh Omar, keamanan negara tidak boleh dibina atas kebencian terhadap mana-mana kaum atau parti politik.
“Saya tidak setuju dengan kenyataan bahawa 'Malaysia aman tanpa DAP'. Kalau hari ini kita mula normalisasikan idea bahawa keamanan hanya boleh dicapai dengan menghapuskan parti tertentu, esok lusa akan ada pula pihak berkata negara hanya aman tanpa PAS, tanpa UMNO, tanpa PKR atau tanpa mana-mana kelompok lain. Itu bukan demokrasi. Itu budaya politik kebencian.”
Katanya, Malaysia terbina atas kepelbagaian masyarakat yang terdiri daripada Melayu, Cina, India, Orang Asal, Muslim dan bukan Muslim. Oleh itu, keamanan sejati tidak mungkin wujud jika rakyat terus dipisahkan dengan rasa curiga dan permusuhan.
Beliau turut menegaskan bahawa perbezaan pandangan dalam negara majmuk seperti Malaysia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melabel mana-mana parti atau kaum sebagai musuh negara.
Katanya lagi, isu seperti pendidikan, bahasa kebangsaan, halal dan hak bukan Islam telah lama dibahaskan dalam kerangka demokrasi dan Perlembagaan.
Sheikh Omar Ali juga mengingatkan bahawa sejarah politik negara menunjukkan ramai pemimpin daripada pelbagai parti, termasuk PAS dan Bersatu, pernah bekerjasama dengan DAP demi kestabilan politik. Ada dalam kalangan mereka pernah menyokong UEC, membentuk kerajaan bersama dan mempertahankan konsep masyarakat majmuk ketika berada dalam gabungan politik yang sama.
Tambah beliau, Malaysia memerlukan politik matang yang menghormati perpaduan rakyat, bukannya politik yang mengajar masyarakat saling membenci.
"Malaysia tidak perlukan politik yang mengajar rakyat membenci antara satu sama lain," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
#sheikhomarali #ahmadyahaya #dewanulamapas #DAPMalaysia #PakatanHarapan #politikmalaysia #isusemasa

No comments:
Post a Comment