Bersatu ambil serius kenyataan Hadi, mula cetus tekanan dalam PN?


 


Parti Bersatu mengakui kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung hubungan kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional (PN) dipandang serius dan akan dibincangkan secara mendalam oleh kepimpinan tertinggi parti itu.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata setiap isu yang dibangkitkan perlu diteliti secara menyeluruh dalam semangat setiakawan serta tanggungjawab bersama demi memastikan perpaduan gabungan PN terus diperkukuh.

“Kami berpandangan bahawa setiap perkara yang berbangkit wajar diteliti secara menyeluruh dalam semangat setiakawan, persefahaman dan tanggungjawab bersama demi memperkukuhkan perpaduan Perikatan Nasional,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan dilihat sebagai reaksi rasmi pertama Bersatu selepas Hadi sebelum ini secara terbuka menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap beberapa tindakan melibatkan Bersatu khususnya berkaitan kemelut politik di Negeri Sembilan dan Perlis.

Bersatu bagaimanapun tidak memberikan sebarang reaksi keras terhadap Pas, sebaliknya memilih pendekatan lebih berhati-hati dengan memaklumkan perkara tersebut akan dibawa ke mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dalam masa terdekat.

Sejak beberapa hari lalu, hubungan antara Pas dan Bersatu menjadi perhatian selepas Hadi dilaporkan tidak bersetuju dengan tindakan melibatkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di Negeri Sembilan.

Presiden Pas itu turut memberi bayangan bahawa parti berkenaan akan menilai semula beberapa aspek kerjasama bersama Bersatu dalam PN sekiranya isu berkaitan tidak diselesaikan dengan baik.

Situasi itu mula mencetuskan spekulasi mengenai ketegangan dalaman dalam gabungan pembangkang berkenaan, walaupun kedua-dua parti masih cuba menampilkan imej hubungan yang stabil di peringkat rasmi.

Dalam pada itu, tular di media sosial dan ramai yang meramalkan ekoran kenyataan tegas Hadi itu sudah mencetuskan tekanan kepada Perikatan Nasional(PN).



No comments: