
Pas sedang mempertimbangkan semula kerjasama dengan Bersatu, menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pimpinan gabungan berkenaan selepas ‘kegagalan Langkah Bangkok’ tahun lalu.
KUALA LUMPUR, 22 Mei – Ketegangan dalam parti-parti politik Perikatan Nasional (PN) semakin ketara susulan kenyataan ‘keras’ Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang menyatakan mengenai ‘sabar ada batas’ selain mendakwa Pas sedang mempertimbangkan semula kerjasama dengan Bersatu, menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pimpinan gabungan berkenaan.
Kenyataan tersebut, menurut sumber pemimpin Bersatu memberi isyarat bahawa mereka seolah-olah ‘merintis jalan’ untuk bersama dengan gerakan ‘Reset’ diketuai bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin dan meninggalkan PN ‘tenggelam’ bersama Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali.
Rasa tidak puas hati itu mungkin tercetus kerana di saat Pas sedang ‘memperkuatkan’ kedudukannya dalam PN walaupun ‘menyingkirkan’ Hamzah dari kerusi Ketua Pembangkang, mereka sebenarnya lebih berminat untuk bersama Hamzah dan kira-kira 18 ahli parlimen Bersatu yang dipecat berbanding Muhyiddin yang sudah kehilangan ‘aura’ sejak 2022.
Bagaimanapun, percaturan tersebut semakin menjejaskan keyakinan penyokong PN sendiri selain menggugat semangat setiakawan dalam gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Ia dipercayai ada kaitan dengan pertemuan sulit dinamakan sebagai ‘Langkah Bangkok’ antara pemimpin Bersatu dan Pas dengan Umno tahun lalu tanpa pengetahuan Muhyiddin.
“Bersatu ambil tindakan pecat terhadap mereka yang pergi berjumpa Ahmad Zahid (Hamidi) di Bangkok kerana dianggap melanggar disiplin dan mengkhianati parti.

“Tetapi apa pula tindakan Pas terhadap Takiyuddin dan Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut dikaitkan dengan pertemuan itu?
“Bukankah tindakan pergi berjumpa Ahmad Zahid tanpa memaklumkan kepada Muhyiddin dan kepimpinan Bersatu juga boleh dianggap melanggar semangat setiakawan dalam PN?” soal sumber berkenaan.
Terdahulu, pada 13 Mei, Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan mengeluarkan kenyataan rasmi mengingatkan semua pimpinan dan ahli parti komponen supaya tidak membuat kritikan secara semberono terhadap mana-mana parti dalam PN.
‘Langkah Bangkok’ merujuk kepada satu pertemuan sulit hujung tahun lalu kononnya bagi membincangkan isu penyatuan parti Melayu dan Islam.
Menurut laporan media, beberapa sumber daripada parti politik memaklumkan, selain Hamzah, Ahmad Zahid juga dikatakan bertemu dengan Ahmad Samsuri, dan Takiyuddin dikatakan atas ‘restu’ Abdul Hadi.
Pertemuan itu dipercayai berlangsung pada awal Disember tahun lalu sewaktu Ahmad Zahid, melakukan lawatan kerja ke ibu negara Thailand itu.

No comments:
Post a Comment