MP PKR SARAN SPEAKER KOSONGKAN ENAM KERUSI PARLIMEN BERSATU



Pemimpin PKR Hassan Karim menggesa Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul membuat pengumuman mengosongkan kerusi parlimen enam ahli parlimen Bersatu yang telah hilang keahlian dalam partinya kerana menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.


Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata bahawa keputusan sedemikian untuk menghormati perlembagaan parti-parti politik yang mendaftar secara sah dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).


“Saya saran speaker (Johari) kosongkan enam kerusi parlimen ahli parlimen Bersatu. Perkara itu bertepatan dengan notis pengosongan dihantar oleh ketua whip Bersatu Ronald Kiandee semalam. Ini selepas keahlian enam ahli parlimen itu telah terhenti serta-merta.


“Saya percaya yang wajarnya ialah kerusi enam ahli parlimen ini perlu dikosongkan atas alasan speaker perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan yang telah dipinda di bawah Akta antilompat parti,” katanya.


Mengulas lanjut, Hassan berkata kegagalan speaker berbuat demikian akan memberi gambaran speaker juga tak menghormati bukan sahaja pindaan perlembagaan parti Bersatu, malah juga parti DAP, Amanah dan Umno yang turut membuat pindaan untuk memastikan tiada wakil rakyat dari parti-parti itu mengalih sokongan ke parti lain.


“Johari harus membuat keputusan berlandaskan perlembagaan dan menghormati perlembagaan Bersatu,” katanya.


Bersatu sebelum ini mengemukakan notis kepada speaker memohon supaya enam kerusi parlimen dipegang oleh wakil rakyatnya dikosongkan.


Dalam satu kenyataan media, Ronald yang juga naib presiden Bersatu berkata, keahlian parti keenam-enam mereka yang sebelum ini menyokong Anwar telah terhenti secara serta-merta.


“Justeru, sebagaimana Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan 3, Speaker Dewan Rakyat perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dalam masa 21 hari selepas notis diterima,” kata Ronald.


Mengulas lanjut, Hassan berkata bahawa dia percaya kerajaan tidak akan campur tangan dalam hal ehwal mahkamah sekiranya perkara ini dibawa ke mahkamah.


“Saya minta seperti janji perdana menteri (Anwar Ibrahim) bahawa kerajaan dia tak campur tangan dalam hal ehwal mahkamah.


“Maka, saya pun percaya perdana menteri dan kerajaan tak akan campur tangan dalam hal ehwal Parlimen ,” katanya.


Tambahnya, kerajaan tidak akan tumbang, tanpa sokongan enam ahli parlimen ini.


“Kerajaan Perpaduan Madani tak mahu sokongan ahli parlimen yang mengkhianati parti sendiri.


“Enam orang ini bukan mengkhianati PN sahaja, mereka mengkhianati pengundi di enam kawasan parlimen,” katanya.


Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/709469



No comments: