Jenayah Qazaf: Implikasi Ke Atas Moral & Kesaksian*



 Semoga generasi akan datang tak lahirkan anak zina...


*Jenayah Qazaf: Implikasi Ke Atas Moral & Kesaksian*


Sesungguhnya syariat cukup menjunjung isu maruah seorang insan dan Surah An Nuur adalah di antara surah terpenting yang mendidik kita dalam soal menjaga maruah. Mengapa saya mesti tegaskan isu qazaf ini?


Kerana jenayah qazaf ini melibatkan maruah keluarga dan menurut fuqaha’ Mazhab Shafiiy dan Hanbali, semua waris berhak meneruskan pendakwaan qazaf. Bermakna satu-satunya pendakwaan yang boleh diteruskan selepas kematian adalah pendakwaan dalam jenayah qazaf. Mengapa? Kerana ia melibatkan maruah dan keluarga atau waris berhak mempertahankan maruah ahli keluarganya yang dilemparkan tuduhan yang jijik atau tuduhan zina/liwat.


Tidak ada satu jenayah pun dalam Islam yang hukumannya digandakan kepada tiga jenis hukuman melainkan hukuman terhadap qazaf iaitu sebatan, digugurkan kesaksian dan dijatuhkan nilai dirinya dengan kecaman dan gelar fasiq meskipun selepas dia bertaubat.


Selain daripada hukuman sebatan terhadap mereka yang melakukan qazaf, hukuman moral dan sosial juga dikenakan di mana kesaksiannya dalam urusan kewangan, sosial, sivil, politik tidak boleh diterima pakai.


Perkataan kesaksian dalam ayat Surah An Nur tersebut diturunkan dalam bentuk nakirah (am) dan berbentuk penafian. Oleh yang demikian ia mencakupi seluruh jenis kesaksian. Berdasarkan hal ini, orang itu wajib digugurkan haknya untuk mengundi dalam pilihan raya dan terlebih lagi hak untuk diundi.


Dan hukum agama, kamu adalah orang-orang yang fasiq. Sekalipun kamu bertaubat, menurut Imam Abu Hanifah, taubat hanya diperkenankan bagi memansuhkan hukuman terakhir iaitu penggelaran dirinya sebagai fasiq. Taubat tidak akan memansuhkan “gugurnya kesaksian” dalam ayat yang disifatkan Allah sebagai kekal, “Dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya”.(An Nuur: 5).

 

Pesan saya, pelihara keluarga kita, lindungi keluarga kita daripada jenayah qazaf ini. Bayangkan jika suatu hari nati akibat kecuaian kita, salah seorang ahli keluarga kita dijatuhkan hukuman sebat dan digelar fasiq. Malah kesaksiannya juga tidak diterima. Bayangkan jika dia pula yang menjadi saksi pernikahan anak perempuan kita…maaf, pernikahan itu tidak sah kerana kefasikannya dan jenayah qazaf yang dilakukannya. Kita sudah berjanji untuk berkumpul bersama di jannah. Jaga keluarga kita sebaik-baiknya.




No comments: