HORMATI PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN







3 Febuari 2024

23 Rajab 1445H


Saya percaya seluruh teman-teman Ahli Parlimen tidak terkecuali yang pernah menjadi Ahli Parlimen akan sentiasa berusaha memahami Perlembagaan Persekutuan dan bersama-sama mempertahankannya.


Selaku Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) satu ketika dahulu, saya mengikuti isu 1MDB dengan teliti dan kami menyambung perjuangan teman-teman lama PAC yang memulakan siasatan dan pendedahan.


Pada zaman kami, “process proceeding” berjalan dengan lancar. Kami memanggil sesiapa sahaja yang sepatutnya kami panggil.


Sehinggalah kes itu ke mahkamah, dan mahkamah telah memutuskan tanpa campur tangan mana-mana pihak.


Rakyat Malaysia perlu hormat mahkamah dan keputusan-keputusannya. 


Kini kita sekali lagi ditagih untuk hormat Perlembagaan khusus terkait Perkara 24 Jawatan Kuasa Pengampunan.


Ketika kita menyambut KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang baharu, jangan kita lupa, selain menjadi ketua tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, antara bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong ialah baginda boleh mengampun, menunda dan mengurangkan hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. 


Hal ini dijelaskan dalam peruntukan di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

 

Yang di-Pertuan Agong sebagai kuasa pemutus yang bijaksana. Kadang kala kes-kes tertentu, dia meringankan dan tidak terus dibebaskan berdasarkan fakta-fakta kes kesalahan.


Kami yakın baginda tiada niat meringan-ringan keputusan mahkamah dan begitu juga tiada niat mengaibkan atau melemahkan mana-mana individu atau parti politik tanah air.


Perlembagaan Persekutuanlah menjadi rujukan dan penawar kepada masalah pentadbiran negara kita yang dihuni oleh penduduk pelbagai kaum dan agama. 


Tidakkah kita terfikir kedamaian yang kita kecapi selama ini, berbanding di negara lain, diikat oleh Perlembagaan Persekutuan, yang telah disepakati sejak merdeka lagi, selain kuasa Allah S.W.T Tuhan Pencipta semesta alam.


Hormatilah Perlembagaan Persekutuan.


Sayangilah Majlis Raja-Raja Melayu dan Raja-Raja Pemerintah.


Ayuh!  Bersama perkukuhkan negara di bawah pimpinan  Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim dan Timbalannya YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi.


HASANUDDIN MOHD YUNUS 

Mantan Ahli Parlimen

P101 Hulu Langat



No comments: