Jawatankuasa Kira-kira Wang
Negara Parlimen (PAC) semalam telah membentangkan laporan mengenai Perolehan
Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) kepada Dewan Rakyat.
Amat menyedihkan untuk melihat
bagaimana Kerajaan sekali lagi gagal terhadap rakyat Malaysia, dengan satu lagi
skandal mega yang mendedahkan kerugian sebanyak RM6 billion.
Skandal ini telah membuktikan
Azam Bak salahi – dia sebelum ini mengetepikan penerbitan Indeks Persepsi
Rasuah (CPI) oleh Transparency International (TI) dengan mengatakan yang indeks
ini hanyalah persepsi dan bukannya fakta.
Walaupun bekas Panglima Tentera
Laut, Tan Sri Dr Abdul Aziz bin Jaafar, telah menggambarkan proses membuat
keputusan dalam projek LCS ini sebagai “sangat salah”, laporan PAC memberitahu
kita bahawa “semuanya salah” dalam projek LCS yang bernilai RM9 billion ini –
dari pelantikan kontraktor, pilihan reka bentuk kapal, sehinggalah kepada
bagaimana wang pembayar cukai dibelanjakan, dibakar, dan dibazirkan.
Ahmad Zahid Hamidi, Menteri
Pertahanan ketika itu, telah memilih untuk berdiam diri dalam 24 jam yang lepas
walaupun dia dinamakan dalam Laporan PAC ini atas keputusannya untuk memilih
reka bentuk GOWIND dari French Naval Group untuk kapal LCS, bertentangan hasrat
pihak Tentera Laut sebagai pengguna yang mahu reka bentuk SIGMA dari pihak
Belanda.
Zahid perlu menjelaskan kepada
seluruh negara mengapa dia membuat keputusan sebegini yang memberikan kelebihan
kepada Kontraktor tersebut.
Perkara ini adalah isu yang
melibatkan keselamatan negara dan pihak Tentera Laut yang akan perlu berperang
menggunakan LCS ini.
Apakah perkara yang telah mendorong
Zahid untuk mengabaikan surat bantahan yang dihantarkan oleh Dr Abdul Aziz
Jaafar yang telah menjejaskan kepentingan pihak Tentera Laut dan negara?
Ini adalah kes di mana Menteri
Pertahanan bersalah mengabaikan kepentingan pertahanan negara!
Lebih banyak keraguan timbul
apabila kita menyedari yang pengeluar GOWIND adalah pembekal yang sama yang
membekalkan kapal selama Scorpene yang terkenal sebelum ini.
Bekas Timbalan Menteri
Pertahanan, Liew Chin Tong, pada tahun 2020 telah menggesa Kerajaan untuk menyiasat
RM1 billion yang hilang yang berkaitan dengan projek LCS.
Kita tidak melihat apa-apa
penyiasatan diumumkan oleh Kerajaan mahupun apa-apa tindakan yang diambil SPRM
sejak dari gesaan ini.
Laporan PAC ini mungkin telah
memberikan sedikit petunjuk kepada SPRM sekiranya SPRM tidak tahu mengenai wang
yang hilang ini.
Amat mengejutkan apabila Laporan
PAC mendedahkan bukan hanya RM1 billion yang telah hilang, tetapi sebanyak
RM1.4 billion telah hilang.
Sejumlah RM400 juta telah
digunakan oleh Kontraktor untuk membayar hutang lamanya, RM305 juta digunakan
untuk membina sebuah pusat di Cyberjaya, yang agak tidak berkaitan dengan
pembinaan kapal, dan RM700 juta diklasifikasikan sebagai kos berlebihan oleh
pihak Kontraktor.
Kini tanggungjawabnya terletak
kepada SPRM untuk menyiasat setiap aspek perbelanjaan dan memberitahu rakyat
sama ada wang ini telah disedut keluar dan siapa yang telah menerima manfaat
darinya.
Bolehkah Ketua Pesuruhjaya SPRM,
Azam Baki, memberitahu rakyat Malaysia, apa yang sedang dilakukan SPRM mengenai
Laporan PAC ini dan juga menjelaskan mengapa badan tersebut tidak bertindak
awal lagi?
LIM KIT SIANG
Ahli Parlimen Iskandar Puteri,
Johor.