DIBELENGGU KESUNTUKAN MASA, MAMPUKAH PASUKAN ZAID IBRAHIM TAMPIL CEMERLANG MEMBELA NAJIB?


 Apa yang dicari semua orang dalam kes-kes yang dibicarakan di mahkamah ialah keadilan.

Mahkamah itu sendiri diwujudkan untuk memberi keadilan dan orang yang pergi mahkamah, tidak lain yang dicarinya melainkan keadilan.

Untuk mencari keadilan itu pula, prosesnya mestilah juga adil supaya keadilan yang berjaya ditegakkan adalah keadilan yang sejati.

Meski sesuatu keputusan mahkamah terlihat adil, ia tetap akan menjadi persoalan jika proses menuntut keadilan itu terdapat elemen-elemen yang tidak adil.

Seseorang yang dihukum bersalah dan dihantar ke penjara, bukan saja keputusan yang dibuat itu mesti mencerminkan keadilan, tidak terkecuali ialah prosesnya juga mesti adil.

Keputusan yang adil, tetapi diputuskan melalui proses yang tidak adil hampir tidak berbeza dengan keputusan yang tidak adil yang dibuat dalam proses yang adil.

Inilah yang menimbulkan pertikaian, malah kebingungan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan Jumaat lalu menolak permohonan pasukan peguam bela Najib Razak yang baharu untuk memohon lebih masa bagi membuat persiapan terhadap kes rayuan itu.

Selain keadaan itu mencetuskan pertikaian dan kebingungan beberapa pihak, ia sekali gus menimbulkan persoalan sama ada mahkamah bertindak terlalu tegas dalam menolak permohonan tersebut.

Pada 26 Julai lalu, firma guaman, Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners memaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan bahawa mereka dilantik Najib untuk mengendalikan rayuan kes SRC International bagi menggantikan Shafee & Co.

Sementara firma guaman diketuai Zaid Ibrahim diberi lantikan, tetapi peguam veteran, Hisyam Teh Poh Teik dinamakan sebagai peguam bela utama yang mengetuai penghujahan di mahkamah untuk menggantikan Shafee Abdullah.

Najib terpaksa melantik pasukan peguam bela baharu untuk mengendalikan kes rayuannya berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur lima hari sebelum itu menolak permohonan untuk melantik peguam diraja UK, (Queen Counsel) Jonathan Laidlaw, seorang pakar perundangan jenayah kolar putih untuk menjadi peguam bela utamanya dalam rayuan muktamad kes itu di Mahkamah Persekutuan.

Sejurus selepas dilantik, firma guaman yang diketuai Zaid itu segera menulis kepada mahkamah memohon penangguhan tarikh rayuan yang sebelum itu telah ditetapkan pada 15 Ogos hingga 30 Ogos.

Antara alasan yang diberikan dalam permohonan itu ialah firma berkenaan memerlukan masa untuk membuat persiapan komprehensif dalam membentangkan rayuan terakhir mereka, termasuk berpuluh ribu helai dokumen.

Berikutan permohonan penangguhan itu ditolak, firma guaman Zaid hanya mempunyai masa sekitar tiga minggu untuk membuat persiapan sebelum tarikh perbicaraan rayuan bermula pada 15 Ogos ini.

Mampukah Zaid dan pasukan peguamnya membuat persiapan komprehensif dan membentangkan hujah konkrit bagi mencari keadilan dalam tempoh yang relatifnya sangat terbatas itu?

“Mahkamah Persekutuan nampaknya menguruskan penjadualan kes rayuan Najib ini dengan amat ketat,” kata seorang peguam kanan sebagaimana dipetik daripada portal FMT.

“Keadaan ini memberikan gambaran salah, seolah-olah mahkamah mahu menyelesaikan kes rayuan ini secara tergesa-gesa.

“Ini sesuatu yang merunsingkan,” kata peguam itu yang tidak mahu namanya disiarkan.

Dalam kes Najib, meskipun mungkin ramai yang mahu melihat beliau segera dihantar ke penjara, tetapi sebagaimana dalam semua kes mahkamah yang lain, bukan saja keputusan yang dibuat itu mesti adil, proses dalam mencari keadilan itu juga hendaklah adil.

Adakah Zaid dan pasukan peguamnya sekarang ini dan sehingga 15 Ogos apabila kes rayuan itu bermula, sedang bekerja 26 jam sehari? – ShahbudinHusin 04/08/2022.



No comments: