#Artikel - Laporan PAC kapal tempur pesisir: MINDEF tidak endah permintaan TLDM

 #Artikel -  Laporan PAC kapal tempur pesisir: MINDEF tidak endah permintaan TLDM


KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini merumuskan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan Boustead Naval Shipyard (BNS) tidak mengendahkan permintaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam pelaksanaan projek perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS).


PAC menyatakan perkara tersebut dalam Jilid 1 Laporan Berhubung Perolehan Kapal LCS, hari ini.


“Pandangan TLDM selaku end user tidak diendahkan oleh MINDEF dan syarikat BNS dalam pelaksanaan projek LCS,


“Pada asalnya, reka bentuk kapal jenis SIGMA pilihan TLDM telah dipersetujui oleh Menteri Pertahanan,


“Keputusan tersebut telah berubah kepada reka bentuk kapal jenis GOWIND pada 11 Julai 2011 atas cadangan syarikat BNS yang dibawa kepada Menteri Pertahanan pada 8 Julai 2011,” kata laporan itu.


Menurut PAC, perubahan dilakukan semasa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memegang portfolio Menteri Pertahanan.


Jelasnya, insiden sebegini perlu diambil pengajaran untuk perolehan masa hadapan.


” Insiden perubahan pemilihan reka bentuk kapal LCS daripada SIGMA kepada GOWIND harus dijadikan pengajaran bagi

perolehan pada masa hadapan,


“Perolehan peralatan dan kelengkapan pertahanan negara harus mengutamakan keperluan end user iaitu TLDM dalam kes ini,


” Secara amnya bagi segala projek dan perolehan di masa hadapan selari dengan Kertas Putih Pertahanan 2020 – 2030,” jelas PAC.


Perolehan LCS menjadi tumpuan kerana lewat siap.


“Projek LCS diberikan oleh Kerajaan kepada syarikat BNS secara rundingan terus,


” Kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS pun yang disiapkan,


“Menurut jadual asal, setakat Ogos 2022 sepatutnya lima buah kapal LCS harus disiap dan diserahkan,” kata PAC.


Sumber: Air Times


No comments: