Pemimpin KEADILAN berjaya selamatkan 2 mangsa pemerdagangan manusia

 



Pemimpin KEADILAN Pahang yang juga ADUN Teruntum, Sim Chon Siang berjaya menyelamatkan dua mangsa pemerdagangan manusia dan membawa mereka pulang dari Thailand beberapa hari lalu.


Dalam sidang media di Ibu Pajabat KEADILAN pagi ini, Sim menceritakan kisah penuh dua anak muda berketurunan Cina mangsa pemerdagangan manusia berkenaan yang ditipu oleh syarikat pencari pekerja, berkelana ke Kemboja dan dijadikan buruh paksa untuk skim penipuan kewangan (scammers) atas talian.


Katanya, dua anak muda yang diselamatkan beliau telah dijual beberapa kali oleh pihak sindiket apabila mereka tidak menunjukkan prestasi yang diharapkan dalam melakukan scam.


"Mangsa (malangnya) tak pandai guna laptop. Macam mana nak hubungi pelanggan, nak pengaruhi pelanggan. Dia tak tahu komputer maka dia dijual 5 kali. Dari harga AS$10,000, dijual AS$11,000 dan AS$12,000


"Kumpulan (sindiket) akan tengok macam mana pendapatan dia (aktiviti scammers), kalau tak ada, dijual lagi. Tetapi dia mesti mengaku orang China, bukan orang Malaysia. Kalau Malaysia dijual murah. matlaat untuk pengaruhi orang China. Dia kena mengaku dari Kwangtung," katanya dalam sidang media, pagi tadi.


Manakala mangsa kedua yang mahu dikenali sebagai Ma pula telah 7 bulan ditahan dan pernah dibebaskan ketika Sim membuat laporan di Kedutaan Malaysia di Kemboja.


Mangsa dipukul kerana enggan melakukan kerja scammers

"Ma bila dia nampak kerja itu sebagai scammers dia tidak mahu buat. Lepas itu dia dikurung dalam bilik gelap. Tidak diberi makan dan tidak dibenar tidur. Lepas itu dijual kepada kumpulan lain AS$17,000


"Dipaksa ikut arahan kumpulan itu. Tak ikut kena belasah. Dijual pula ke kumpulan kedua AS$25,000. Kemudian diselamatkan oleh polis di Sihanuouk.


"Kemudian dia dikeluarkan (dari sel) dan dijual kali keempat di balai polis itu. Bila balik dipukul teruk kerana keluarga dia melapor kesnya di Malaysia. Lepas 2 hari dijual kepada kumpulan kelima


"Kumpulan keenam memaksa dia guna telefon buat scammer. Tak dapat buat akan dipukul. Kumpulan keenam pula buat keputusan jual dia ke Myanmar," katanya.


Menurut Sim, mereka berdua menghubungi keluarga di Malaysia tetapi tidak mampu membayar wang tebus kontrak yang besar jumlahnya.


Namun Sim memberitahu mereka, sekiranya mereka akan dijual ke Myanmar maka peluang untuk melarikan diri terbuka luas apabila melepasi sempadan Kemboja.


"Pada 28 Mei mereka dibawa dari Sihanuouk ke sempadan dan mereka akan dibawa melalui Thailand ke Myanmar.


"Sebelum itu adak Ma pernah hubungi saya dan maklumat Ma saya telah hantar ke kedutaan di Phnom Penh tetapi tiada tindakan.


"Pada 26 Julai, adiknya beritahu saya dia akan dijual ke Myanmar, saya beritahu ini adalah peluang untuk larikan diri.


"Bila masuk Thailnad, lepasi sempadan Kemboja-Thailand akan berjalan kaki. Kalau kamu ada peluang lari, maka saya akan sampai," katanya.


Tambah Sim, apabila melepasi sempadan kedua mereka dan bersama beberapa mangsa dari China telah diturunkan di pejabat imigresen untuk diambil maklumat. Namun apabila diarah masuk semula ke dalam van, mereka mengambil kesempatan untuk lari dan masuk ke sebuah pasar raya berhampir.


Dia situ mereka membeli sim card untuk menghubungi Sim di Malaysia.


"Masa itu mereka ada AS$20. Pukul 6 lebih saya di Kuantan, saya dapat panggilan minta tolong. Kata mereka telah larikan diri dan ada dalam pasar raya. Masa itu apa yang saya fikir kalau lari dari pasar raya bahaya, saya kata cepat naik teksi keluar dari sana.


"Mereka ada 700 baht . Saya minta mereka naik teksi satu hotel di Bangkok dan mereka kena bayar 200 baht.


"Tinggal 200 baht macam mana nak tinggal di hotel. Saya buat tempahan bilik online untuk mereka tinggal di hotel hingga saya sampai. 31 Julai saya sampai ke Bangkok dan saya bawa mereka makan," katanya.


Dalam sidang media itu juga Sim mempersoalkan kecuaian dan kelalaian kerajaan Malaysia dan Kemboja.


"Kenapa Ma ini pada April dia telah diselamatkan oleh polis, soalan kepada kerajaan Kemboja, kenapa adik ini boleh dijual dalam balai polis.


"Kenapa telah diselamatkan tetapi dibawa keluar oleh kumpulan sindikit. Bila saya hantar maklumat kepada Kedutaan Malaysia, dikata telah diselamatkan tetapi dia sudi kerja balik di sana.


"Ini macam polis ada subahat dengan kumpulan ini. Saya akan tulis surat kepada Kemboja apa yang berlaku," katanya.


Beliau juga mengkritik kerajaan Malaysia yang gagal menangani aduannya mengenai pemerdagangan manusia. Sedangkan katanya kerajaan Thailand dan Vietnam lebih cepat bertindak menyelamatkan rakyat mereka


"Saya mahu bertanya kepada kerajaan Malaysia selepas aduan saya pada akhir Jun, kenapa tiada tindakan terhadap budak budak ini. Saya ada 11 kes dan beri maklumat penuh kepada kedutaan dan kenapa tiada tindakan.


"Saya difahamkan kalau Vietnam buat aduan, dua tiga hari telah diambil tindakan. Thailand buat aduan dibawa pulang dalam seminggu," katanya.

David Chong

Dalam pada itu. Ahli Majlis Pimpinan Pusat David Chong yang turut serta dalam sidang media itu juga meminta kerajaan Malaysia agar lebih menumpukan isu rakyat berbanding sibuk bermain politik.


"Saya menyeru kerjaaan Malaysia ambil tindakan lebih berkesan. Perkara sebegini telah berlaku beberapa tahun. Sampai hari ini masih ada kes berlaku. Ini satu penghinaan besar kepada kerajaan kita. Ini jual beli manusia yang amat memalukan.


"Jangan tumpu siapa TPM, bubar Patlimen. Tumpu masalah ini. Sekarang penipuan ini guna sosial media, kementerian komunikasi kena peka dan bijak selesaikan masalah ini," katanya.