HAMZAH DILANTIK KETUAI DELEGASI RUNDINGAN, UMNO DIJANGKA TUNDUK BEKERJASAMA DENGAN PN

 

Semalam, Hamzah Zainuddin dengan yakin mengumumkan bahawa Perikatan Nasional atau PN akan membentuk kerjasama dengan UMNO dan BN bagi menghadapi PRN Melaka, 20 November depan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PN dan Bersatu berkata, perbincangan ke arah itu akan dilakukan tidak lama lagi.

Menurut beliau, kerjasama itu akan diumumkan dalam waktu terdekat ini dan formula kerjasama yang telah berjalan melalui pembentukan kerajaan di peringkat pusat adalah pilihan untuk dipraktikkan di Melaka nanti.

“Apa yang berlaku di peringkat pusat telah membuktikan kita boleh bekerjasama dan kita akan mempraktikkan perkara yang sama juga di Melaka,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, sumber PN memaklumkan Hamzah sudah pun dipersetujui dan dilantik sebagai ketua delegasi gabungan itu untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO dan BN bagi menjalin kerjasama yang dimaksudkan.

Difahamkan, pemilihan Hamzah kerana beliau dipercayai satu-satunya pemimpin yang diyakini mampu mengetuai rundingan yang akan menghasilkan kejayaan serta menguntungkan PN.

Hasil rundingan yang diyakini membawa kejayaan dan menguntungkan PN itu dengan sendirinya bermaksud bukan saja UMNO dan BN perlu tunduk kepada keperluan bekerjasama dengan PN yang akan digagaskan oleh Hamzah, malah juga tunduk kepada tuntutan kerusi yang diminta oleh gabungan itu.

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menolak untuk bekerjasama dengan Bersatu atau Pas bagi menghadapi PRN Melaka, sebaliknya ingin bertanding secara solo bersama panji-panji BN.

Bermakna kini adalah menjadi tugas Hamzah untuk menterbalikkan pendirian Zahid Hamidi itu dan beberapa pemimpin dalam Bersatu sangat yakin dengan kemampuan beliau melaksanakan misi tersebut.

Adalah difahamkan, PN akan menuntut 12 kerusi untuk mereka tandingi dalam PRN Melaka kali ini dengan dua daripadanya akan diperuntukkan kepada Pas.

Sebagai balasan kepada permintaan itu, PN menjanjikan sokongan tanpa berbelah bagi agar jawatan Ketua Menteri diserahkan kepada UMNO mendudukinya.

Asalkan 12 kerusi yang diminta itu dipersetujui, siapa pun calon Ketua Menteri yang bakal dinamakan oleh UMNO – sama ada Ab Rauf Yusoh atau Sulaiman Md Ali – PN akan menjanjikan sokongan dan kerjasama yang maksimum ke arah kemenangan bersama dalam PRN Melaka.

Hamzah sebelum ini adalah pemain peranan penting dalam menjayakan MOU antara kerajaan dengan PH sehingga kejayaannya itu dikatakan amat menggembirakan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Jika kali ini beliau berjaya merangkumkan kerjasama antara PN dengan BN di PRN Melaka, ia pasti sekali lagi mendatangkan kegembiraan yang bukan kepalang kepada Ismail Sabri.

Harus diakui bahawa kejayaan menidakkan PH daripada berkuasa semula di Melaka sudah tentu dapat menyelamatkan air muka Perdana Menteri daripada dicemari dengan bayangan kegagalan dalam tempoh tidak sampai 100 hari beliau memegang jawatan itu.

Terpenting sekali, melalui kejayaan gabungan BN dan PN di Melaka serta menyelamatkan air muka Perdana Menteri itu nanti, meskipun kerusi Ketua Menteri bakal diserahkan kepada UMNO, tetapi ia dalam masa yang sama akan mencerahkan peluang Hamzah untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ismail Sabri yang terhutang budi dengan peranan gemilang Hamzah itu pasti tidak mampu menolak lagi daripada memberikannya jawatan nombor dua dalam kerajaan, mengenepikan Azmin Ali yang juga disebut-sebut mengidam jawatan yang sama. – ShahbudinHusin 20/10/2021.


No comments: