Usman Awang, Sasterawan Negara kita kalau memilin dan menganyam puisi memang luar biasa kelembutannya. Kalau puisi-puisi romantisnya serasa benar menyentuh, dan meninggalkan garis di kalbu. Pun tetapi, Allahyarham juga banyak menulis puisi-puisi politik. Yang dalam lembut dan keindahan bahasanya, sangat mencabar serta mendorong kita melawan.
Sekiranya kita melihat percekcokan dalam politik di Melaka sebagai misalan. Kita akan menyampah dengan aneka kepura-puraan. Lapis kepura-puraan dan sandiwara itu sungguh menjengkelkan. Tuhan sahaja yang tahu bagaimana kita menghamun para politikus ini dalam hati. Babi tidak cukup di dunia ini untuk disamakan dengan mereka. Malah babi jauh lebih kudus berbanding politikus.
Kita tahu sesama parti pemerintah (baca Keluarga Malaysia) berbalah. Ada khabar angin berkesiuran, konon mereka berebutkan untung menjual pasir. Ya atau tidak, manalah kita tahukan. Setelah berkelahi soal keuntungan yang boleh dibidak dan diselerakan itu, mereka mula tarik menarik sokongan sehingga membawa rebah kerajaan negeri. Kita mendengar pula pecat-memecat, tolak-menolak, dan runding-merundingi. Ada audio terlepas keluar kemudian dinafi. Ada lambai yang penuh hipokrasi. Ada ketua pembangkang yang gagal. Ada drama mengheret ke mahkamah. Ada pula haiwan politik bergulingan sondol menyondol. Kita membaca dan meluatkan lelakon politik yang memangsai. Baik atas sehingga ke bawah.
Dalam semua wayang yang memualkan ini, Usman ada merakamkan rasa menyampah kita; seimbang dengan nasihat sebagai pendita. Sebuah puisi Usman dengan tajuk “Politik” memberikan kita semua itu:
Betapa kita boleh dipisahkan
Langit tua dan sejarah yang hitam,
Dunia kita yang saling bertentangan.
Siapa di antara kita dituduh pengkhianat?
Siapa pula yang nanti mengukur hakikat,
Sedang manusia serba lemah kesempurnaan kudrat?
Betapa persaudaraan telah musnah dan jahanam,
Bukan sekadar kata carik-carik bulu ayam,
Kerana kesucian tujuan di tangan manusia terhumban.
Hitunglah sejak Adam meninggalkan syurga,
Berapa zaman telah memagut usia dunia,
Kita semakin jauhnya hanyut dalam arus sengketa.
Manusia seperti bintang-bintang banyak di langit,
Dunia serupa bulan bulat sekadar satu cuma,
Mengapa kita kehilangan daya membancuh warna,
Seperti bintang mengilau cahaya ke bulan purnama?
Berlagulah di serunai hayat yang senafas hirup,
Nyanyian persaudaraan dalam batin yang harus hidup.
Meski antara kita faham-faham berlainan terpaut.
Tentu sahaja membaca puisi ini kita akan mendapati Usman semacam memasang jawatan menjadi tukang damai dan mengingatkan agar saling bekerja untuk rakyat, dalam aneka perbezaan itu. Kita tidak tahu konteks sajak atau karya karangan Usman ini. Akan tetapi kalau Allahyarham masih ada dan melihatkan perangai serta tingkah laku politikus hari ini, mungkin ada puisi lain yang lebih sesuai.
Namun demikian, kita harus percaya bahawa tingkah dan fiil kelakuan para politikus ini sentiasa tersentil dalam kamus Usman tentunya. Janji manis pilihan raya sebagai contoh amat diketahui masyhur buat kita marhaen. Mereka, para politikus menari ikut gendang cenderung keinginan rakyat, sambil menabur wang konon berkat. Apabila menang, memang lahanat bergaduh lagi. Ada pasir sebukit dua dibawa gaduh lagi. Ketika pilihan raya, mereka menjamu rakyat yang lupa daratan, terlambung lautan tidak bertepian.
Inilah yang dilihat Usman Awang misalnya dalam puisi “Isi Tak Berganti: Kepada Mereka Yang Menang Dalam Pilihanraya”:
Khabar-khabar telah tiba berterbangan,
Tuan-tuan terjulang dalam kemenangan,
Segala janji dalam manis kata-kata:
‘Kami diturunkan untuk membela rakyat jelata.’
Derai sorak di zaman ini,
belum bererti menjadi pasti,
Kalau hanya pemimpin sendiri,
Sedang kami tertindas lagi.
Penuh jamuan dan pesta indah,
Puji sanjung dengan tawa madah,
‘Kita menang menghadapi perjuangan,
Zaman merdeka sudah terbayang.’
Tapi sejarah bisa berulang lagi,
dalam sorak kemenangan manusia mencari,
Ah, masing-masing mencari tempat sendiri, tegak di atas kemelaratan kami.
Itulah bayangan zaman ini,
Kulit hanya, isi tak berganti.
Sesungguhnya politikus boleh memperdaya rakyat, menagih undi dengan janji kemudian bertarung merebutkan pasir lagi kerana mereka tahu rakyat ada jenis kebodohan, ada tiang, ada pangkin, ada habuk, ada sawang, dan ada seperti babi tersodok menonjol sampah.
Kenapa politisyen boleh menganiayai dan memperlekehkan pengundi?
Sebab kita pengundi atau rakyat ada satu perangai yang membolehkan kita dipijak dan ditindas. Perangai dan kelaku yang membolehkan kita dilenyek dan ditekan itu Usman namakan sebagai ‘Jiwa Hamba’. Puisi ini sekali baca sudah cukup dan memadai untuk menunjukkan yang politikus sedap melutu dan menghentak kita rakyat kerana kita sendiri rakyat rela dan redha. Bait puisi itu berbunyi begini:
Termenung seketika sunyi sejenak,
Kosong dijiwa tiada penghuni,
Hidup terasa diperbudak-budak,
Hanya suara melambung tinggi.
Berpusing roda beralihlah masa,
Berbagai neka hidup di bumi,
Selagi hidup berjiwa hamba,
Pasti tetap terjajah abadi.
Kalau hidup ingin merdeka,
Tiada tercapai hanya berkata,
Ke muka maju sekata, maju kita,
Melemparkan jauh jiwa hamba.
Ingatkan kembali kata sakti,
Dari bahang kesedaran berapi:
“Di atas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka.”
Dalam nukilan di atas, “Jiwa Hamba”, Sasterawan Negara kita menyatakan, kalau kita sudah merdeka tetapi masih berkelakuan hamba dan membiarkan diri kita ditindas, maka begitulah berulang-ulang; kita akan dilindas kuasa. Generasi demi generasi tetaplah kita tidak dapat melepaskan diri dari kecelakaan para pemimpin yang membohongi kita rakyat lagi dan lagi.
Puisi Usman itu menyuarakan perihal berdiri megah di atas robohan Kota Melaka, sambil berteriak bebas. Akan tetapi jenis bebas apa dalam Keluarga Malaysia, kalau betullah tetek transnita boleh dipicit sewenangnya oleh manusia beragama. Jenis bebas apa?
Usman mengingatkan kita bahawa kita sudah merdeka; bukan untuk dijajah bangsa sendiri yang berebutkan pasir.
Jiwa kita jiwa merdeka tentunya, bukan berjiwa hamba. Orang Melaka, barangkali Usman Awang bangkit berpesan dari kuburan tentang pengamatan politiknya yang memang tajam itu.