DUN Sarawak mungkin bubar beberapa hari lagi, kata Naib Presiden PBB


Kenyataan Naib Presiden PBB, Abdul Karim Rahman Hamzah, hadir beberapa jam selepas Ketua Menteri Abang Johari Openg merangkap Presiden PBB menafikan perkara itu.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memberi bayangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan dalam beberapa hari lagi, biarpun Ketua Menteri Abang Johari Openg menjelaskan tiada pembubaran buat masa ini.

Kenyataan Naib Presiden PBB, Abdul Karim Rahman Hamzah, hadir beberapa jam selepas Abang Johari merangkap Presiden PBB menafikan perkara itu dalam satu majlis di Simanggang, Sri Aman, pagi tadi.

Menurut Karim, beliau tidak menolak kemungkinan DUN Sarawak akan dibubarkan dalam beberapa hari lagi.

Katanya, pembubaran itu perlu dilakukan bagi pilihan raya negeri ke-12 (PRN12) Sarawak diadakan, selepas DUN yang sepatutnya dibubarkan 7 Jun lalu ditunda susulan lanjutan proklamasi darurat di negeri itu hingga 2 Feb 2022.

“Mungkin dalam sehari dua ini kita akan mendengar berita berkenaan pembubaran DUN dan sebagainya.

“Saya sendiri juga sedang menunggu kerana kita perlu memberi semula mandat kepada rakyat untuk menentukan kerajaan akan datang,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Desas-desus bertiup kencang mengenai PRN12 Sarawak, dengan beberapa portal berita melaporkan Ketua Menteri, yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abang Johari dijangka membubarkan DUN esok.

Bagaimanapun, Pejabat Ketua Menteri menafikan perkara itu menerusi satu kenyataan hari ini dan menyatakan tidak ada pengumuman seumpama itu yang dijadualkan buat masa sekarang atau esok.

Sementara itu, mengenai Undi18, Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak menyifatkan dakwaan pihak pembangkang bahawa kerajaan takut dengan Undi18 adalah tidak masuk akal.

Beliau menegaskan, tidak ada sebab untuk takut dengan Undi18, sebaliknya ia dialu-alukan kerana itu hak rakyat untuk mengundi.

“Bukannya semua Undi18 akan memihak kepada mereka atau kami, jika bukan pilihan raya umum (PRU) kali ini, kita tetap akan bertemu lagi pada PRU akan datang,” katanya.

No comments: