KALI INI DENGARLAH NASIHAT KU LI – UMNO BOLEH HIDUP TANPA BERSATU, TAPI BERSATU AKAN ‘MATI’ TANPA UMNO

 

Walaupun Tengku Razaleigh Hamzah merupakan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, tetapi tidak pernah pun selama ini nasihatnya diminta, didengari atau dipedulikan oleh pucuk pimpinan parti itu.

Bahkan, kerana kedudukannya yang tiada fungsi itu, tiada sesiapa yang mengikutnya ketika beliau memutuskan untuk kembali bersama Tun Mahathir Mohamad atau ketika mengambil sikap berkecuali dalam mengundi Belanjawan 2021, baru-baru ini.

Tetapi, kali ini UMNO wajar sekali mendengar nasihat Ahli Parlimen Gua Musang itu.

Nasihat Ku Li kali ini amat mudah – bukanlah suatu masalah jika UMNO akhirnya terpaksa membawa haluan sendiri menjelang PRU15 akan datang nanti.

“Mengapa tidak?

“Kita biasanya bergerak sendiri atas dasar yang ditentukan oleh BN. Dan segala bentuk tindakan kita merupakan bentuk berkebangsaan”, ujarnya.

Dengan sikap PAS yang semakin dilihat ‘menyebelahi’ Bersatu berbanding UMNO, Ku Li mengaku ia tidak dinafikan boleh menjejaskan peluang UMNO untuk kembali mengetuai kerajaan pusat.

“Tetapi kena ingat, sebelum ini pun kita tak bergantung kepada mereka. Kita bertanding atau menghadapi PRU sebagai BN.

“Dan kita menang banyak kerusi. Di sebelah selatan, tengah, Pantai Barat pun kita menang.

“Ini kekuatan yang telah dibuktikan oleh kita dalam PRU yang sudah-sudah,” jelasnya lagi.

Malah, tambah beliau, kekuatan UMNO melebihi parti-parti lain jika diukur daripada segi wakil dalam Parlimen, jumlah keahlian dan sokongan akar umbi.

Hanya saja, tegasnya, UMNO perlu memilih calon PRU15 yang boleh diterima masyarakat iaitu calon yang tidak banyak masalah, bertanggungjawab serta mampu berkhidmat dengan baik untuk menjaga kebajikan rakyat.

Ku Li seterusnya mengingatkan, meski UMNO menyokong kerajaan PN, ia bukan merupakan anggota PN.

Begitu juga, kata Ku Li lagi, sama ada UMNO akan bekerjasama dengan dengan PAS dalam MN atau turut bersama Bersatu untuk menghadapi PRU15 adalah hal yang belum lagi dimuktamadkan.

“Lagipun kita tak tahu sama ada bentuk kerjasama itu boleh diterima oleh pengundi atau sebaliknya,” kata beliau.

Dalam erti kata lain, oleh kerana banyak ketidaktentuan dalam hubungan dengan Pas dan Bersatu itu, maksud daripada nasihat Ku Li itu ialah UMNO harus bersiap sedia untuk bertanding atas kekuatan sendiri melalui BN.

Lebih penting lagi, persiapan itu, termasuk mengenal pasti calon-calon berwibawa dan boleh diterima mesti dimulakan sekarang dan tidak dilengah-lengahkan lagi.

Meski diakui bahawa bersama dengan Pas adalah pilihan terbaik bagi UMNO, tetapi jika Pas lebih condong kepada Bersatu, mungkin kerana terpesona dengan pelbagai nikmat jawatan yang diberikan oleh Muhyiddin Yassin, maka pilihan yang wajar ialah meninggalkan saja parti itu.

Biarlah Pas dan Bersatu hidup serta karam bersama kerana mementingkan habuan dunia daripada setiakawan yang mula dibina ketika sama-sama kecundang sebelum ini.

UMNO bagaimanapun tidak boleh sama sekali bersama dengan Pas dan Bersatu dalam waktu yang sama.

Ini kerana niat Bersatu adalah untuk “membunuh” UMNO, malah untuk bertanding dan kekal berkuasa pun, Bersatu mengharapkan ihsan dan pertolongan daripada UMNO.

Bersatu boleh dikata tiada kerusi yang stabil yang boleh menjamin kemenangan jika tanpa ada UMNO bersama mereka.

Jangankan untuk Kumpulan Hamzah Zainuddin dan Kumpulan Azmin Ali mengekalkan kemenangan di kerusi yang mereka bawa lari ke dalam Bersatu sekarang ini, Muhyiddin sendiri pun belum tentu boleh menang di Pagoh kalau bersendirian atau setakat bersama Pas saja.

Lagi pula, Pagoh dan semua kerusi Bersatu yang dimenangi mereka dalam PRU14 lalu memang asalnya adalah milik UMNO.

Maka, tiada masalah sebenarnya untuk UMNO merampas semua kerusi itu kembali.

Kata mudahnya – UMNO sentiasa boleh hidup tanpa Bersatu, tetapi Bersatu lebih mungkin akan “mati” jika tidak ditolong oleh UMNO.

Harus diingat, dalam PRU14 lalu, Bersatu menang juga kerana banyak dibantu PH, khususnya PKR dan DAP.


 (Shahbudindotcom 30/12/2020)




No comments: