Isu kartel daging masalah serius libatkan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat

 

Oleh B. Suffian

Kerajaan Persekutuan diseru segera menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat isu kartel daging secara berani dan telus serta mencadangkan penambahbaikan, kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Langkah itu jelas beliau, demi untuk mengembalikan keyakinan pengguna terutama rakyat Malaysia terhadap sistem kawal selia halal dan kualiti makanan import secara amnya.

“Isu kartel daging yang dibongkarkan oleh media baru-baru ini ialah masalah serius yang melibatkan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia. Oleh itu, perkara ini memerlukan perhatian di peringkat paling tinggi dengan kadar paling segera.

“Akibat rasuah dan salah guna kuasa yang berleluasa di beberapa agensi kerajaan, kartel daging telah mengimport daging-daging dari sumber yang diragui dan tidak mengikut piawaian halal Malaysia.

“Malah laporan media turut mendedahkan produk daging yang menggunakan logo halal palsu untuk dijual di pasaran Malaysia. Kartel daging tersebut didakwa sudah beroperasi lebih 40 tahun,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut beliau, isu kartel daging tersebut melibatkan soal amalan agama Islam yang tidak boleh dikompromi.

Namun begitu, jelasnya, masalah tersebut tidak terhad kepada umat Islam semata-mata.

Beliau memberitahu, ia sebenarnya melibatkan isu kualiti dan khasiat makanan import secara amnya.

“Jika daging tidak halal boleh dijual sebagai halal akibat kegiatan rasuah, maka tidak hairan jika daging berpenyakit dan bermasalah mungkin terlepas daripada sekatan untuk dijual kepada pengguna.

Kata beliau, ini sudah tentu akan mendatangkan mudarat besar kepada kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Jika isu ini tidak ditangani dengan kadar paling segera, ia akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem kawal selia kerajaan.

“Perkara ini juga akan memberi kesan buruk kepada perniagaan-perniagaan yang mematuhi undang-undang kerana kehilangan keyakinan pengguna terhadap sistem kawal selia tersebut,” katanya lagi. 




No comments: