Dedahkan VVIP, syarikat terlibat kartel daging haram

 

Kartel daging haram yang dibungkus semula dan dilabel halal masih tidak dapat ditangani secara meyakinkan.


Semakin banyak dalih bahawa siasatan sedang dijalankan, semakin banyak rakyat yang tidak berpuas hati dengan kelewatan tindakan dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung identiti syarikat yang terlibat dan status kehalalan daging import di pasaran.


Menurut Exco Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail, daripada kerajaan PN terus berdalih adalah lebih baik mereka mendedahkan terus pihak-pihak yang terlibat dalam skandal berkenaan.


Kata Rodziah, kartel daging tidak mungkin boleh beroperasi sedemikian lama sekiranya tidak dibantu oleh kelompok VVIP yang berkuasa, sehingga daging kangaru dan kuda pun boleh dijual sebagai daging halal.


"Kita mendesak kerajaan dan kementerian berkaitan segera menjalankan siasatan rapi, cekap dan telus serta mengheret dalang pengimport daging sejuk beku dari luar negara ini ke muka pengadilan.


"Lebih serius, isu sindiket kartel daging menjadi bukti bagaimana rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku dalam kerajaan melibatkan penjawat awam, adalah amat serius dan memerlukan tindakan agresif serta proaktif menanganinya. Ia ternyata telah merobek reputasi dan imej institusi yang diamanahkan memulia dan meningkatkan darjat Islam.


"Oleh itu, kita tidak mahu pihak yang terlibat dilindungi, termasuk jika ia melibatkan golongan kenamaan dan VVIP. Dedah sahaja syarikat-syarikat yang terlibat dalam skandal itu," katanya dalam satu kenyataan.


Rodziah juga mendesak siasatan yang dilengkapkan kelak didedahkan secara telus kepada rakyat kerana skandal ini melibatkan kepentingan umum terutama pengguna Islam yang tertipu dengan status daging import halal.


Pendedahan juga, kata Rodziah, akan mendedahkan kartel yang mengawal harga daging di pasaran agar tidak terus melakukan usaha mensabotaj harga selepas ini.


"Status oligopoli kartel daging berfungsi mengawal harga daging dan menjadi halangan terbesar penerokaan pemain industri baru yang boleh meningkatkan persaingan sihat dan mutu produk serta perkhidmatan.

"Liberalisasi industri mengimport daging mampu menurunkan harga daging dan memberi kesan positif kepada para usahawan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Rodziah turut mencadangkan baik pulih sistem pengimportan daging yang melibatkan 80% dari keperluan daging negara agar dilakukan secara holistik berdasarkan Dasar Pertanian Negara

Hal itu, katanya, mestilah diimplementasikan segera supaya korupsi yang kelihatan menopengi proses dan transaksi pengimpotan daging dapat dihapuskan 

No comments: