Anwar tiada agenda peribadi terhadap PN, kata Saifuddin

 

Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha Anwar untuk menjatuhkan kerajaan PN akan diteruskan.

PETALING JAYA: Tiada agenda peribadi berhubung usaha pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata seorang pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha Anwar itu berpunca daripada keputusan pemimpin PH, sekali gus menolak tuduhan ia merupakan agenda peribadi.

Bercakap dalam temu bual dengan akhbar Sinar Harian pada Jumaat, Saifuddin berkata: “Saya nak tegaskan, keputusan untuk ambil alih mandat adalah keputusan PH dan sokongan itu diberikan kepada Anwar untuk menggerakkan usaha tersebut.

“Ini menepis dakwaan atau tohmahan yang timbul bahawa ini adalah keputusan dan agenda peribadi Anwar.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya ini usaha peribadi Anwar.”

Beliau berkata, usaha menjatuhkan pemerintah PN akan terus dilakukan, sama ada di dalam dan di luar Parlimen.

PH gagal menjatuhkan kerajaan PN melalui undi belanjawan minggu lalu apabila Belanjawan 2021 diluluskan dengan 111 undi menyokong berbanding 108 menolak di Dewan Rakyat.

Saifuddin berkata, undi itu bukan petunjuk kegagalan PH.

“Prosesnya boleh dibuat dalam dan luar Parlimen. Jika satu tewas (undi belanjawan), satu lagi masih berjalan (akuan bersumpah),” katanya, merujuk kepada dakwaan Anwar sebelum ini berkait sokongan “majoriti meyakinkan” Ahli Parlimen yang diperolehinya.

Saifuddin dalam pada itu, enggan mendedahkan jumlah akuan bersumpah (SD) yang diperolehi Anwar menerusi gerakan di luar Parlimen.

“Saya tidak bersedia berkongsi jumlahnya (SD). Saya tahu siapa yang kita jumpa, berapa yang kita dapat dan sebagainya.

“Mengenali cara Anwar menjalankan tanggungjawab, beliau sentiasa memaklumkan ‘progress’ usaha beliau kepada pimpinan utama PH,” katanya.

Minggu lepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu menggesa PH berhenti membuang masa dengan Ahli Parlimen “oportunis” kerajaan PN yang memperalatkan mereka.

Kenyataan itu dilihat sebagai tamparan kepada Anwar.

Saifudin bagaimanapun menyifatkannya sebagai “perkara kecil”, tidak setanding dengan keluarnya PAS daripada gabungan pembangkang pada 2016.


No comments: